Skip Ribbon Commands
Skip to main content

2016 PMO News

12.01.16 Kerja berpasukan beri komitmen secara aktif


Pelaksanaan Penilaian Risiko Kebangsaan (National Risk Assessment - NRA) terhadap kegiatan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan merupakan perkara penting dalam memenuhi saranan pertama yang terkandung dalam piawaian antarabangsa Pasukan Petugas Tindakan Kewangan.
Ia juga merupakan titik permulaan bagi penilaian bersama yang mana hasil penilaian membolehkan mengenalpastian, penilaian dan pemahaman mengenai kedua-dua isu tersebut serta peningkatan risikonya di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar juga selaku Pengarah Keselamatan Dalam Negeri (KDN) menggariskan perkara itu semasa Majlis Pembukaan Rasmi Bengkel NRA Terhadap Kegiatan Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong hari ini.

Yang Mulia Dato Paduka berkata, meskipun penghasilan NRA bagi keperluan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan, namun ia merupakan satu projek yang melibatkan negara.

Justeru itu, Yang Mulia Dato Paduka menggesa setiap peserta untuk bekerja secara berpasukan dengan memberikan komitmen dan penglibatan secara aktif.

Seramai 60 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk agensi-agensi penguatkuasaan, agensi-agensi perisikan, Autoriti Monetori Brunei Darussalam (AMBD), Pejabat Peguam Negara dan juga sektor swasta menyertai bengkel yang dibahagikan kepada lapan kumpulan kerja.

Bengkel selama tiga hari itu dianjurkan oleh Unit Perisikan Kewangan, AMBD selaku Urusetia Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Membanteras Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan (National Anti-Money Laundering and Combating the Financing of Terrorism Committee - NAMLC) dan Bank Dunia.

Projek NRA yang julung kali diadakan ini adalah merupakan projek sepanjang tahun yang melibatkan proses mengenal pasti dan menilai risiko pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan di Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menganalisa sumber utama dan pemandu risiko untuk menyediakan dasar dan tindakan yang berkesan juga berasaskan risiko.

Selain itu, tujuan projek adalah untuk memastikan pematuhan terhadap saranan pertama yang terkandung di dalam piawaian antarabangsa Pasukan Petugas Tindakan Kewangan.

Penyediaan NRA ini dikendalikan melalui tiga fasa bermula dengan bengkel pertama yang bertujuan untuk mengenal pasti data dan maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan penilaian; fasa kedua termasuk satu bengkel untuk menyemak 'draft' laporan penilaian; dan fasa ketiga akan merangkumi satu lagi bengkel untuk membuat semakan terakhir terhadap hasil penilaian dan pelan tindakan berasaskan risiko yang akan disampaikan kepada NAMLC bagi pengesahan dan pelaksanaan seterusnya.

Projek NRA ini dijangka akan selesai dilaksanakan tidak lewat daripada 31 Januari tahun hadapan.

Hasil daripada penilaian ini akan diedarkan kepada pihak-pihak berkepentingan termasuk penggubal-penggubal dasar, agensi-agensi operasi dan institusi-institusi kewangan serta bukan kewangan nanti.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments