Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.04.18 Brunei DPMM FC tumpaskan Home United FC

Kemenangan pada perlawanan awal pasukan Brunei DPMM FC dalam Liga Perdana Singapura 2018 pertama kali beraksi pada edisi kali ini, diharap menjadi suatu petanda baik demi untuk mengulangi kejuaraan yang diciptanya pada tahun 2015 lalu.

Beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas menjadi saksi pasukan Brunei DPMM FC menumpaskan pendahulu liga setakat ini, Home United FC dengan jaringan 4 - 2.

Berangkat memberikan sokongan padu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Kekecewaan kekalahan semasa menentang Sabah FA baru-baru ini, pasukan Brunei DPMM FC mula bangkit apabila berjaya membolos gawang lawan menerusi pemain import dari Ukraine, Volodymyr Pryiomov pada minit ke-13.

Gol pertama tersebut seterusnya menjadi suntikan semangat kepada pemain pasukan Brunei DPMM FC, selang dua minit kemudian, sumbatan satu gol lagi berjaya dihasilkan apabila Abdul Aziz Tamit memanfaatkan peluang yang diberi hasil daripada lontaran sepakan sudut dan jaringan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua perlawanan dimulakan begitu baik apabila tendangan percuma dari Volodymyr sekali lagi mencapai sasaran gol pada minit 54, berikutan pemain import dari Iran, Mojtaba Mollasaraei sengaja dijatuhkan oleh pemain pasukan pelawat itu.

Brunei DPMM FC terus menyumbatkan gol keempatnya melalui sepakan Mojtaba Mollasaraei pada minit ke-71, namun demikian Home United FC akhirnya berjaya menyumbat satu gol tunggal mereka tiga minit selepas itu.

Pada saat masa genting akhir perlawanan, Shahril Ishak berjaya menyumbat gol kedua bagi Home United FC.

Perlawanan Brunei DPMM FC seterusnya akan menentang Albirex Niigata (S) di laman lawan pada Sabtu, 14 April.

 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments