Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
22.04.18 Berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Brunei Ke-26 bagi Kumpulan Umur

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Brunei Ke-26 bagi Kumpulan Umur di Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
 
Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
 
Hadir sama, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
 
Pada hari terakhir kejohanan, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, perenang Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) Hammerheads menyertai Kategori Lelaki 50 Meter Kuak Lentang dan berjaya mendapat tempat ketiga sekaligus memperbaharui rekod peribadi YTM dengan catatan masa 48.55 saat.
 
Sementara itu, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, perenang ISB Hammerheads juga sekali lagi berjaya mencipta rekod dalam Kategori Perempuan 50 Meter Kuak Lentang dengan catatan masa terpantas YTM, 59.63 saat dan telah dinobatkan sebagai Terbaik Perempuan Bagi Kumpulan Umur 7 Tahun.
 
Pada acara kejohanan tersebut juga, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan penyampaian pingat kepada YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
 
Sementara itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut yang berlangsung pada sebelah pagi.
 
Antara yang menyertai kejohanan tersebut ialah paduka anakanda DYTM, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim.
 
Berangkat sama menyaksikan kejohanan berkenaan, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman.
 
Pada kejohanan di sebelah pagi, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim yang mewakili ISB Hammerheads menyertai Kategori Lelaki 100 Meter Kuak Dada dan berjaya menjuarai kategori berkenaan sekaligus berjaya memecahkan rekod peribadi YTM dengan catatan masa 2 minit 00.23 saat.
 
Kejohanan disertai oleh 235 perenang terdiri daripada 102 perenang perempuan dan 133 perenang lelaki dari beberapa buah kelab renang tempatan dan luar, termasuk Brunei Speed Swimming Club; Dolphin Swimming Club; ISB Hammerheads; Jerudong Swimming Club; Panaga Stingrays; Royal Brunei Recreational Club; Aqua Flippers Philippines; Gymkhana Club Miri; Miri Amateur Swimming Association; Kelab Rekreasi Petroliam, Miri; Power Aquatic Swimming Club, Kuching; The British School in Colombo, Sri Lanka dan Victoria Swimming Club, Labuan.
 
Sebanyak 1,339 penyertaan individu dan 33 penyertaan pasukan 'relay' diterima untuk bersaing dalam 17 acara renang dan tiga acara 'relay'.
 
Kejohanan anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) merupakan platform kelayakan bagi BASA untuk memilih perenang-perenang untuk Kejohanan Asia Tenggara Kumpulan Umur (SEAAG) Ke-43 yang akan diadakan di Filipina pada 6 hingga 8 Julai dan Sukan Sekolah ASEAN Ke-10 di Malaysia bermula 19 hingga 27 Julai.
 
Melalui Kejohanan Renang Brunei Ke-26 bagi Kumpulan Umur itu, BASA mengharapkan untuk melihat rekod-rekod kebangsaan baharu dari kumpulan-kumpulan dan peringkat umur baharu.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments