Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15.05.18 Pentingnya menjaga kebersihan

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun bersabda menekankan akan pentingnya dalam menjaga kebersihan persekitaran dari sampah sarap sama ada sebelum, semasa mahupun selepas selesai apa pun acara yang dilangsungkan.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda demikian semasa Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun bertempat di Bangunan JPM, di sini.

Ia, sabda DYTM, adalah selaras dengan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara pada 5 Mac 2018 yang memberikan perhatian serius mengenai isu kebersihan khususnya pembersihan Brunei daripada sampah dan kotoran serta akta mengenainya.

''Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa ia didaulatkan melalui pelaksanaan,'' sabda DYTM.

DYTM percaya pengalaman-pengalaman dari sambutan-sambutan lalu setentunya boleh saja dijadikan sandaran pada penambahbaikan mahupun pembaharuan dalam melakar persiapan-persiapan acara, termasuklah usaha-usaha menangani masalah-masalah yang bersampingan dengannya khususnya isu kebersihan.

Terdahulu itu, DYTM bersabda tarikh 15 haribulan Julai sudah secara tradisinya terpahat dalam hati dan minda setiap lapisan rakyat serta penduduk di negara ini sebagai peluang keemasan bagi menzahirkan kesyukuran dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemerintahaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ia juga sabda DYTM, merupakan simbol kekukuhan perpaduan rakyat yang sekian lama telah menjamin kemajuan, keamanan dan kemakmuran berterusan di bawah kepimpinan seorang raja yang bijaksana lagi berjiwa rakyat.

''Justeru, kesempatan dalam menzahirkan kesyukuran ini seharusnya terserlah melalui atur cara-atur cara yang diungkayahkan bersempenakan sambutan yang penuh bermakna ini,'' sabda DYTM lagi.

DYTM menambah, di sinilah setiap yang bertanggungjawap dalam sambutan ini perlu bijak dalam merencana dan menyusun atur majlis-majlis serta acara-acara yang sebolehnya berupaya membuka peluang luas serta menarik penglibatan yang aktif lagi bermakna di kalangan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) termasuk penuntut-penuntut sekolah dan belia serta rakyat dan penduduk negara ini amnya.

Apa yang ingin dilihat sabda DYTM, ialah kelangsungan perpaduan rakyat dan penduduk di negara ini dalam suasana kegemilangan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terhasil dari kesepakatan dan kemuafakatan yang kukuh.

''Jelasnya kepentingan perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa apatah lagi dalam usaha kita ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035,'' sabda DYTM lagi.

Tidak kurang pentingnya ialah peranan para belia yang mana pada hemat DYTM, kesempatan seumpama ini perlulah diambil manfaat sepenuhnya oleh kalangan belia dalam memupuk semangat sukarelawan dengan sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti baik dari segi tenaga mahupun fikiran semata-mata untuk kepentingan raja, ugama, bangsa dan negara.

DYTM berharap acara-acara sambutan yang diungkayahkan itu akan terus dijadikan landasan pada memantapkan lagi keharmonian bernegara, keakraban di antara raja dan rakyat jelata, menyuntik semangat jati diri serta terus taat setia dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta negara yang tercinta ini.

DYTM penuh yakin usaha-usaha persiapan dan persediaan tertentu bagi tahun ini sudah mula direncana dengan rapi oleh setiap yang terlibat dalam memastikan kesempurnaan dan kejayaan acara-acara berkenaan nanti.

Namun tekan DYTM, dalam melakar setiap perancangan tersebut, ia haruslah terpandu oleh titah-titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam perkara-perkara melibatkan kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini.

''Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan buah fikiran, tenaga, usaha dan masa Jawatankuasa Kebangsaan, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Daerah, Jawatankuasa Kerja dan semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan Acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan paduka ayahanda pada tahun lepas,'' sabda DYTM lagi.

Semoga kejayaan yang dikecapi tambah DYTM, akan menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dengan gigih demi untuk mengejar kecemerlangan yang dihasratkan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments