Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.06.18 Kebawah DYMM berkenan adakan lawatan ke SUAMPRIPAHS

136bnews.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat melawat Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di SUAMPRIPAHS tersebut dijunjung oleh Pengetua Sekolah, Dayang Hajah Rusidah binti Haji Talip.


Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM dijunjung ke Bilik Persidangan bagi mengadakan sesi perbincangan bersama pengetua sekolah serta tenaga-tenaga pengajar sekolah tersebut.


Selesai perbincangan, baginda berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama guru besar dan tenaga-tenaga pengajar di sekolah berkenaan.


Kebawah DYMM kemudiannya dijunjung ke bilik VIP Lounge dan berkenan menerima pesambah serta menandatangani buku lembaran keberangkatan.


Sebelum berangkat meninggalkan SUAMPRIPAHS, Kebawah DYMM berkenan menerima junjung ziarah daripada para tenaga pengajar, pegawai dan kakitangan serta pelajar sekolah berkenaan.


Juga hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrum bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Undang-Undang dan Kesejahteraan, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Setiausaha Tetap Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.


SUAMPRIPAHS adalah salah satu projek Kementerian Hal Ehwal Ugama yang terkandung di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 (RKN10). Pembinaan SUAMPRIPAHS dapat menampung keramaian seramai 1,800 pelajar.


Sebelumnya sekolah tersebut dinamakan sebagai Sekolah Menengah Arab Katok, di mana sekolah berkenaan telah diperkenankan penukaran namanya oleh Kebawah DYMM menjadi nama SUAMPRIPAHS, berkuat kuasa mulai 2 Jamadilawal 1437 Hijrah bersamaan 30 Januari 2017 Masihi.


Reka bentuk bangunan itu mengambil kira hasrat baginda agar sekolah tersebut menjadi Sekolah Ugama Arab yang unik dengan sistem pendidikan Islam, mahir berbahasa Arab, diterap dan diasuh bagi mendidik anak bangsa ke arah melahirkan serta membentuk sahsiah bangsa agar mampu berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani plak peletakan batu asas sekolah berkenaan.


Sementara itu, sesi pembelajaran SUAMPRIPAHS bagi menengah bawah bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, manakala bagi menengah atas bermula jam 7.30 pagi hingga 1.00 petang.


SUAMPRIPAHS kini mempunyai seramai 1,365 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 serta 133 tenaga pengajar yang terdiri daripada 33 guru lelaki dan 100 guru perempuan juga 22 orang kakitangan sekolah.


Sekolah tersebut menyediakan prasarana yang mempunyai teknologi terkini dengan jumlah bilik darjah yang digunakan pada tahun ini sebanyak 54 buah dengan memuatkan 30 pelajar dalam sebuah kelas, selain menyediakan kemudahan lain seperti bangunan pentadbiran, kantin, dewan serbaguna, gelanggang badminton, surau untuk pelajar perempuan sahaja, dewan makan, asrama serta kemudahan sukan lainnya.


Selain itu, sekolah tersebut menggunakan tiga bahasa penghantar, iaitu bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Dengan misinya, 'Melahirkan generasi yang bertakwa dan cemerlang di dunia dan di akhirat' dan visinya 'Mendidik pelajar-pelajar supaya berilmu, beriman dan berakhlak mulia dengan pendidikan yang bersepadu', manakala matlamat penubuhan sekolah tersebut adalah untuk melaksanakan pendidikan Al-Quran, Fardu Ain dan Fardu Kifayah kepada para pelajar supaya menjadi Mukminah yang sejati.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments