Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
03.07.18 Berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya AMBD

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD yang berlangsung di Banquet Hall, JPM, di sini.


Keberangkatan  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke Majlis Ramah Mesra tersebut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Ahli -Ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain, Ahli-ahli Pengurusan serta pegawai dan kakitangan AMBD.


Terdahulu, sebelum berkenan berangkat ke Banquet Hall, JPM, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama dengan Ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD dan warga AMBD.


Pada majlis tersebut, DYTM juga berkenan mengurniakan cenderahati dan sijil penghargaan kepada empat warga AMBD yang telah bersara dari tahun 2017.


Terdahulu, DYTM turut dipersembahkan dengan persembahan lakonan dan nyanyian oleh warga kakitangan AMBD.


Sejurus selepas itu, DYTM berkenan mengadakan lawatan ke Pondok Hari Raya (booth) AMBD yang bertemakan wayang 'Turkish Bazaar'.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD, ahli-ahli Pengurusan serta para pegawai dan kakitangan AMBD.


Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD tersebut antara lain bertujuan bagi menghayati kedatangan bulan Syawal sebagai salah satu bulan kebesaran Islam dalam suasana keceriaan setelah selesai menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan.


Majlis ini diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga kakitangan AMBD.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments