Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
28.10.18 Makmurkan masjid mendapat reda Ilahi


Masjid adalah ibarat rumah Allah, dan sesungguhnya menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Da'ie Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Ustaz Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah semasa menyampaikan Tazkirah Subuh bertajuk 'Memakmurkan Masjid Mendatangkan Reda Illahi'.

"Dengan sembahyang berjemaah juga, kita akan sentiasa mendapat reda Allah Subhanahu Wata'ala dan dijauhkan daripada segala bala atau malapetaka," tambahnya.

Dr. Ustaz Haji Ismuhadi turut menyeru para jemaah untuk sentiasa melakukan sembahyang fardu lima waktu secara berjemaah, kerana ia adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang terbesar.

Sesi tazkirah tersebut merupakan sebahagian daripada intipati Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien minggu ini yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri.

Ia merupakan program mingguan yang mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

Selain itu, program ini turut memberikan peluang kepada para pengunjung Bandarku Ceria untuk memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui penyertaan menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Roslan bin Haji Taja'ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments