Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
29.10.18 Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi (High Yielding Hibrid Variety Paddy) di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-72 Tahun.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Berangkat sama Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM dijunjung untuk mendengar sembah taklimat daripada Juruekopertanian, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali; Pengerusi Koperasi Setia Kawan (KOSEKA), Lt. Kol. (B) Awang Haji Mohd. Shahlan bin Hidup dan Ketua Ladang Projek Penanaman Padi, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pengkalan Batu, Awang Haji Yakub bin Haji Othman.

Bagi memberkati majlis, acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan mengurniakan Titah Perasmian bagi menyempurnakan Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi (High Yielding Hibrid Variety Paddy) dan kemudiannya dijunjung berangkat untuk menanam Padi Hibrid Berhasil Tinggi di Ladang KOSEKA dengan menggunakan mesin jentera penanaman padi (paddy transplanter).

Mengiringi Kebawah DYMM semasa penanaman Padi Hibrid Berhasil Tinggi tersebut adalah laungan Selawat Ibrahimiyah beramai-ramai ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipimpin oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Kebawah DYMM kemudian berkenan bergambar ramai dan beramah mesra bersama pengusaha-pengusaha padi sebelum berangkat ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) - Kampus Agroteknologi di Kampung Wasan bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Terdahulu, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke beberapa kawasan ladang-ladang tanaman dan ternakan untuk menyaksikan kepelbagaian kaedah serta teknologi pertanian yang digunakan oleh para pengusaha tempatan di tiga ladang atas kawasan yang sama, iaitu di Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei, Kampung Kilanas.

Ladang pertama ialah ladang yang diusahakan di bawah Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) yang dikelolakan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Ladang PROPAZ dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Seterusnya Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Ladang RZ Prisma Enterprise yang merupakan salah satu Projek Rintis di bawah kelolaan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di ladang tersebut dijunjung oleh Pengurusnya, Pengiran Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Ladang ketiga lawatan baginda ialah ke Ameenfarm Agrotech and Trading yang juga merupakan salah satu Projek Rintis di bawah kelolaan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dijunjung oleh Pengurusnya, Awang Haji Irwandy bin Haji Lois.

Baginda meneruskan lawatan ke Ladang Perusahaan Riza Fudhlana Farming di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tanah Tuah Kulapis.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di sana dijunjung oleh Pengurusnya, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman. 

Ladang Syarikat Tunas Harapan dan Hua Ho Agricultural Farm Sendirian Berhad di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sibongkok, Kampung Masin juga menjadi tumpuan lawatan baginda.

Keberangkatan tiba baginda di ladang tersebut dijunjung oleh Pengurusnya, Lau How Teck.

Turut hadir pada majlis perasmian, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu, Timbalan-timbalan Menteri, para perwakilan asing ke negara ini serta peladang-peladang padi di KKP Wasan.

Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi bertujuan untuk menandakan satu lagi perkembangan baharu dalam usaha KSSUP bagi meningkatkan pengeluaran padi dan bagi meningkatkan tahap sara diri bekalan beras negara.

Pada hari ini, varieti padi yang diperkenalkan adalah dikenali sebagai Padi Sembada188, yang merupakan varieti padi yang dikenal pasti melalui kerjasama penyelidikan di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan Syarikat PT. Biogene Plantation dari Republik Indonesia yang telah dijalankan selama tiga musim bermula dari Mei 2016 dan berakhir pada Mac 2018.

Melalui kajian tersebut, Padi Sembada188 mempunyai purata hasil sebanyak 5.0 - 6.0 tan metrik sehektar semusim.

Benih Padi Sembada188 telah diimport daripada Republik Indonesia melalui Yaz & Wyn Enterprise, yang mana merupakan syarikat perusahaan bumiputera yang telah dilantik menjadi pengedar tunggal bagi Negara Brunei Darussalam.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments