Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
17.12.18 DYTM berkenan menutup rasmi 1st ASEAN Rover Moot 2018


dpmmclosingrover.jpg

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 (1st ASEAN Rover Moot 2018) yang bermula pada 12 Disember lalu berjaya menghimpunkan belia-belia dari Bahagian Pengakap Kelana negara-negara ASEAN dengan menjalankan kegiatan-kegiatan yang memberikan faedah kepada para peserta, di samping memperkembangkan minda dan pengetahuan tentang kepimpinan yang dapat membina keyakinan diri mereka.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pada majlis yang berlangsung di Pusat Belia di ibu negara.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dan Yang Di-Pertua PPNBD, Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pemangku Pesuruhjaya Bahagian Keugamaan Ibu Pejabat PPNBD, Awang Muhammad Najib bin Abdul Hamid.

Seterusnya, Yang Di-Pertua PPNBD dalam sembah alu-aluannya, antara lain menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia bercemar duli ke majlis tersebut, seterusnya berkenan bagi mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutupan Rasmi perhimpunan tersebut.

Sembahnya lagi, perhimpunan yang dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Disember lalu telah sempurna dilaksanakan dengan jayanya mengikut atur cara dan perancangan yang disusun atur.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali selaku Kem Komandan dalam sembah Laporan Penutup Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 menyembahkan sebanyak empat kategori kegiatan diadakan, yang menjurus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) sepertimana yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipersetujui oleh negara-negara ahli pada bulan September 2015.

Kategori yang dijalankan sembahnya ialah kegiatan eksplorasi dan fizikal; kebudayaan dan seni; khidmat kemasyarakatan dan alam sekitar.

Pengendalian perhimpunan yang berkonsepkan Out-Reach itu sembahnya dijalankan serentak di keempat-empat daerah di negara ini dan memberikan kesempatan kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dalam pelbagai bidang dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Para peserta sembahnya, dapat melihat, mengalami dan membuat sendiri apa yang mereka lihat dan dengar.

Pada majlis penutup rasmi tersebut, DYTM berkenan menyempurnakan Penganugerahan Anugerah Pengakap Sultan, Anugerah Baden Powell dan Anugerah Pengakap Sedunia.

Anugerah Pengakap Sultan dianugerahkan kepada 12 Ahli Pengakap Remaja (Venture Scout) PPNBD, yang mana anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Pengakap Remaja dan para penerima Lencana Pengakap Sultan adalah mereka yang layak dan diiktiraf oleh PPNBD setelah lulus kursus menjalani beberapa ujian, antaranya ialah Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja, Kursus Pertolongan Kecemasan serta membuat perkhidmatan masyarakat melebihi masa 48 jam.

Manakala lapan Ahli Pengakap Kelana menerima Anugerah Baden Powell yang julung kali diberikan kepada Ahli-ahli PPNBD, yang mana kriteria bagi para penerima anugerah tersebut ialah lulus empat lencana dalam Skim Latihan Pengakap Kelana, termasuk Lencana Kenegaraan yang menjurus kepada falsafah Melayu Islam Beraja, selain itu mereka juga perlu lulus lencana-lencana yang menjurus kepada fizikal; kemahiran pengakap dan kemahiran hidup; keusahawanan; dan perkhidmatan.

Manakala, lima Ahli Pengakap Kelana menerima Anugerah Pengakap Sedunia (Scouts of the World Award - SWA) yang julung kali diadakan, yang mana anugerah tersebut merupakan program Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organization of Scout Movement - WOSM) yang difokuskan bagi Bahagian Pengakap Kelana di seluruh dunia dan terdiri daripada tiga perkara teras, iaitu alam sekitar, pembangunan dan keamanan.

SWA dilancarkan untuk menggalakkan penglibatan yang lebih aktif para Ahli Pengakap Kelana yang berumur 18 - 26 tahun dalam pembangunan masyarakat dengan menjadikan mereka lebih peka tentang isu-isu global mengenai dunia hari ini, selain itu, ia juga memberikan para belia satu platform bagi menjadi warga global.

DYTM juga berkenan menyempurnakan Penganugerahan Sijil Penyertaan kepada kontinjen yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Seterusnya, DYTM berkenan mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 dan berkenan menerima pesambah.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Bahagian Keugamaan Ibu Pejabat PPNBD.

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 menghimpunkan kira-kira 350 orang peserta yang berusia 18 hingga 26 tahun dari negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD), Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, Singapura, Thailand dan Viet Nam.

Perhimpunan yang membawa tema 'Satu ASEAN, Satu Masyarakat di dalam Berpengakap' (One ASEAN, One Community in Scouting) adalah bersempena Sambutan 100 Tahun Pengakap Kelana Sedunia dan Sambutan 85 Tahun Pergerakan Pengakap di NBD, antara lain bertujuan untuk membentuk keperibadian sahsiah diri dan jati diri generasi belia di dalam menjalankan kegiatan kemasyarakan, mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan hubungan silaturahim dalam kalangan para peserta.

Selain itu, para peserta juga dapat mengongsikan pengetahuan dan pengalaman, di samping dapat berinteraksi secara langsung dalam kalangan para Ahli Pengakap Kelana semasa menyertai perhimpunan tersebut, seterusnya dapat memperkenalkan sosio budaya di antara negara dan memperkenalkan NBD sebagai satu destinasi pelancongan juga menambah ekonomi negara.

Setentunya dengan keberangkatan DYTM ke Majlis Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama 2018 itu mencerminkan sikap prihatin dan pemedulian DYTM kepada Ahli-ahli PPNBD.


Sumber berita Pelita Brunei

Sumber foto InfoFoto


Attachments