Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
04.01.19 Brunei - Myanmar terus memperkukuh kerjasama

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi dan kerajaan serta juga rakyat republik tersebut bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar Yang Ke-71 Tahun.


Dalam titah perutusan kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint, Kebawah DYMM menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar serta rakyat masing-masing telah sekian lama menikmati persahabatan yang akrab sejak wujudnya hubungan diplomatik 25 tahun yang lalu. Melalui perhubungan yang sangat bernilai ini, Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar beroleh manfaat dalam banyak bidang kerjasama dan seterusnya baginda berharap akan dapat memperkukuhkan lagi pertalian yang penting ini di tahun-tahun mendatang.


Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi, baginda amat menghargai persahabatan yang wujud di antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing. Baginda seterusnya berharap membaharui peluang untuk mengukuhkan lagi persahabatan kedua-kedua buah negara, baik di peringkat dua hala mahupun serantau.


Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, baginda menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Win Myint dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi dan juga kepada rakyat republik tersebut dan semoga mereka gembira meraikan perayaan tersebut.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments