Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
08.01.19 Lapan tahun penubuhan, AMBD menepati pasaran kewangan

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mencapai ulang tahun  ke kelapan.Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran bagi memperingati penubuhannya diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Perpindahan Mentiri di sini.


Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Juga hadir, Peguamcara Negara di Pejabat Peguam Negara, Dayang Zuraini binti Haji Sharbawi dan Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd.Rahman serta para pegawai dan kakitangan AMBD.


Majlis tersebut diimarahkan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil beramai-ramai diikuti Doa Kesyukuran dipimpin oleh Imam masjid berkenaan, Awang Haji Shamsul bin Haji Abd. Latif.


Sejak penubuhannya pada tahun 2011, beberapa pembangunan infrastruktur pasaran kewangan domestik telah dicapai oleh AMBD  termasuk sistem Real Time Gross Settlement (RTGS) pada tahun 2014; sistem Automated Clearing House (ACH) pada tahun 2016; dan sistem Central Securities Depository (CSD) pada tahun 2017.


Penggunaan Direct Credit Transfer dalam sistem ACH yang telah beroperasi mulai Februari 2017 telah menyumbang kepada pengurangan penggunaan cek fizikal sebanyak 18 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2016. Nilai cek yang diproses pada tahun 2018 berbanding dengan tahun sebelumnya juga dijangka menurun sebanyak 27 peratus.


Selain itu, AMBD juga telah menerbitkan 'Digital Payment Roadmap for Brunei Darussalam 2019-2025' yang merupakan salah satu inisiatif strategik ke arah transformasi industri pembayaran negara kepada pembayaran secara digital.


Roadmap yang menetapkan strategi ke arah 'Digital Payment Nation' adalah selaras dengan strategi di bawah Financial Sector Blueprint 2016-2025 (FSBP) serta visi Wawasan Brunei 2035 dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi secara dinamik.


Fungsi AMBD juga telah meluas bagi menepati keperluan pasaran, seperti perkhidmatan Biro Kredit dan kepentingan pengguna kewangan di negara ini.


Ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035, AMBD telah memberikan latihan ke arah melahirkan pakar-pakar dalam bidang penyeliaan, kewangan, kewangan Islam dan ekonomi di kalangan generasi muda di negara ini dengan menggalakkan pembelajaran yang berterusan bagi pegawai dan kakitangannya sendiri.


Selain itu, kerjasama kolaborasi AMBD bersama institusi pengajian tinggi di negara ini juga dilaksanakan bagi menyediakan program-program latihan yang komprehensif bagi mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai Program Perantisan AMBD.


Di bawah naungan AMBD, Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) juga telah menganjurkan latihan-latihan dalam bidang yang sama, khusus bagi industri kewangan dan orang ramai.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments