Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
07.02.19 Dukung konsep 'syura' demi wujudkan kesepakatan pemikiran

Jabatan Perdana Menteri  telah mengadakan Sesi Muzakarah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2019 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat West Wing, Bangunan JPM, di sini.


Hadir semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Elinda binti Haji C.A Mohammad.


Manakala seramai 12 orang daripada rombongan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN menghadiri Sesi Muzakarah tersebut, diketuai oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.


Sesi Muzakarah didahului dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.


Dalam ucapan alu-aluan Yang Berhormat Menteri di JPM Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti antara lain menjelaskan bahawa saranan yang diberikan hendaklah ditanai sebaik-baiknya, demi mendukung konsep 'syura' atau amalan bermesyuarat yang sangat-sangat ditekankan di dalam Islam.


Perkara tersebut jelas Yang Berhormat Menteri telah berkali-kali dinyatakan di dalam Al-Quran demi mewujudkan kesepakatan pemikiran yang sekaligus akan menjuruskan semua pihak ke arah kesatuan perbuatan / pekerjaan.


"Oleh yang demikian, seperti yang peramba/kaola/saya nyatakan di dalam Ucapan Penangguhan peramba/kaola/saya di persidangan MMN tahun lepas, interaksi dan soal jawab secara dua hala atau 'two-way communication' sebagaimana lazimnya proses 'syura' iaitu melalui perundingan, percambahan fikiran, pertukaran maklumat dan pertukaran pelbagai idea dari setiap sudut adalah perlu kita laksanakan agar keputusan yang kita persetujui bersama benar-benar matang, tepat dan terarah dan yang paling penting, keputusan yang dicapai tersebut akan mendapat reda Allah Subhanahu Wata'ala," ujar Yang Berhormat Menteri.


Sementara itu dalam ucapan balas Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Naim selaku Ketua Rombongan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN pula menjelaskan bahawa, Ahli-ahli MMN berharap supaya dalam Perkhidmatan Awam tidak ada yang menyalahgunakan kuasa, bagi kepentingan dirinya atau ahli keluarganya.


Apa yang rakyat dan penduduk negara ini mahukan ujar Yang Berhormat Awang Naim supaya warga Perkhidmatan Awam berkhidmat dengan jujur dan amanah serta ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kerana kuasa yang diamanahkan perlulah digunakan dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan keberkatan dengan mengambilkira supaya undang-undang dan peraturan-peraturan serta dasar-dasar dilaksanakan dengan teliti dan teratur dan tidak ada pilih kasih dan kezaliman dalam Perkhidmatan Awam.


Sesi Muzakarah diikuti dengan penerangan ringkas daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap di JPM dan disusuli dengan sesi dialog di antara Ahli-ahli Yang Berhormat MMN dan pihak JPM.


Juga hadir semasa sesi muzakarah ini ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Juruaudit Agung; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah serta pegawai-pegawai kanan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments