Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15.06.19 Sambutan Hari Keputeraan dibincangkan



Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun berkenan berangkat ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan berkenaan, bertempat di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar selaku Penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Ke-73 Tahun.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah juga Doa Selamat dipimpin oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yusof.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam sembah alu-aluannya berkata, keberangkatan DYTM ke mesyuarat pada pagi itu jelas membuktikan keprihatinan, pemedulian juga komitmen DYTM selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun bagi Tahun 2019 terhadap peranan dan tugas Jawatankuasa ini, khasnya perancangan, persediaan-persediaan dan persiapan-persiapan atur cara-atur cara yang telah dan akan diungkayahkan oleh Jawatankuasa di Peringkat Kebangsaan dan Jawatankuasa di Peringkat Daerah, terutama sekali acara kemuncak di daerah-daerah, iaitu Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di keempat-empat daerah.

Sembah Yang Berhormat lagi, acara tersebut adalah suatu acara yang sangat istimewa dan sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di daerah-daerah pada menjunjung keberangkatan Kebawah DYMM bercemar duli juga menerima junjung ziarah rakyat dan penduduk di daerah berkenaan.

Yang Berhormat seterusnya berharap supaya Ahli-ahli Jawatankuasa akan dapat bersama-sama memberikan pandangan dan buah fikiran semata-mata bagi membisaikan juga mempertingkatkan lagi mutu, kualiti dan kemeriahan juga kesempurnaan acara-acara sambutan perayaan, khususnya di daerah-daerah.

DYTM kemudiannya berkenan mengurniakan sabda.

Seterusnya, mesyuarat mendengarkan laporan mengenai dengan persiapan-persiapan dan persediaan-persediaan acara-acara utama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Yang Ke-73 Tahun, khususnya Majlis Keberangkatan Kebawah DYMM ke Daerah-daerah bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk, Upacara Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, Majlis Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, Istiadat Perbarisan Kehormatan, Majlis Khatam Al-Quran 73 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara, Regata dan Majlis Ilmu.

Mesyuarat dihadiri oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said; Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Pegawai-pegawai Daerah; Pegawai-pegawai Eksekutif daripada sektor swasta; dan Pegawai-pegawai Kanan kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Ke-73 Tahun.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments