Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18.11.19 Bercemar duli tinjau perkembangan Daerah Temburong ​



Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Daerah Temburong menggambarkan pemedulian dan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk di daerah tersebut apabila baginda berkenan bercemar duli melawat ke rumah para penerima Anak-anak Kunci Rumah Teres bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie sekali gus berangkat melawat ke beberapa buah tempat.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar dijunjung oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.

Turut hadir Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.

Sekolah tersebut kini mempunyai keramaian 675 penuntut dan 83 guru.

Sepanjang lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mendekati para penuntut bagi mengambil tahu perkembangan para pelajar dalam pendidikan dan aktiviti yang mereka ikuti.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat ke Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi dijunjung oleh Guru Besar sekolah tersebut, Dayang Hajah Noraini binti Namit.

Baginda kemudian berkenan melawat ke beberapa buah bilik darjah dan beramah mesra bersama murid-murid dan tenaga pengajar di sekolah tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 1955, Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi antara sekolah tertua di Daerah Temburong. Pada masa ini sekolah tersebut mempunyai keramaian 111 murid dari kelas pra hingga Tahun 6.

Baginda berkenan menyaksikan lebih dekat lagi suasana pengajaran dan pembelajaran beberapa buah kelas.

Kebawah DYMM kemudian berangkat melawat ke Sekolah Rendah Puni yang mula beroperasi pada tahun 1950.

Keberangkatan baginda dijunjung oleh Guru Besar sekolah tersebut, Dayang Sinorismah binti Haji Ibrahim.

Baginda berkenan menyaksikan persembahan daripada para pelajar dan juga beramah mesra bersama murid-murid dan guru-guru di sekolah tersebut.

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan berangkat melawat ke Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Kampung Ujung Jalan yang menempatkan beberapa agensi Kerajaan. Kompleks ini mula beroperasi pada 24 April 2012 berperanan mengawal dan memeriksa orang keluar dan masuk ke dan dari negara ini. Di kompleks ini juga baginda berkenan menyaksikan lebih dekat kemudahan-kemudahan yang digunakan bagi memudahkan orang ramai keluar dan masuk.

Di samping itu, pendidikan ugama juga menarik perhatian Kebawah DYMM apabila baginda berkenan bercemar duli ke Sekolah Ugama Bokok. Keberangkatan tidak diduga baginda tersebut menjadi detik manis kepada warga sekolah.

Institusi perundingan mukim dan kampung serta kepimpinan penghulu dan ketua kampung turut menjadi perhatian Kebawah DYMM apabila berkenan singgah ke rumah Ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok dan juga Pemangku Penghulu Mukim Amo di Kampung Meniup, Jalan Pendaruan Temada, Mukim Bokok.

Dengan keramaian penduduk kira-kira 3,500 orang, mukim tersebut satu-satunya yang menempatkan Skim Perumahan Negara di Daerah Temburong, yang terletak di Kampung Rataie.

Dari Mukim Bokok, Kebawah DYMM berkenan meninjau Pos Kawalan Polis Temada. Selain mengawal keselamatan Kampung Temada yang bersempadan dengan Limbang, Sarawak, Pos Kawalan ini juga berperanan memberikan bantuan yang diperlukan kepada orang ramai.

Baginda seterusnya bercemar duli ke Rumah Panjang Kampung Semabat yang dijunjung oleh Ketua Kampung Lepung Baru, Awang Ambol anak Bakit. Rumah Panjang ini mempunyai 17 pintu dan dihuni oleh 54 orang. Rumah Panjang yang dibina pada tahun 1983 tersebut sering menerima kunjungan para pelancong.

Pada akhir lawatan, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke rumah-rumah para penerima Anak-anak Kunci Rumah Teres bagi RPN Kampung Rataie, Daerah Temburong.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments