Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18.11.19 234 penerima dikurniakan anak kunci rumah



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan anak-anak kunci rumah teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie bagi Daerah Temburong kepada 234 orang penerima di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong, di sini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Belalong dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Haji Jamil bin Haji Ghani diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Awang Abdul Ghani antara lain menyembahkan, penganugerahan anak-anak kunci itu jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Kebawah DYMM terhadap kesejahteraan rakyat serta dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Bagi memberkati majlis Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong.

Di samping majlis penyempurnaan penganugerahan anak-anak kunci rumah, baginda turut menumpukan lawatan baginda ke beberapa buah tempat, iaitu Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Sekolah Rendah Puni, Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Kampung Ujung Jalan dan Sekolah Ugama Bokok.

Kebawah DYMM kemudiannya meneruskan lawatan ke rumah Ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok dan juga Pemangku Penghulu Mukim Amo, Rumah Panjang Semabat dan Pos Kawalan Polis Temada.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM meneruskan lawatan ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Kampung Rataie Temburong, iaitu Dayangku Nursusila binti Pengiran Jamaludin, Awang Abdul Zaki bin Jambin, Awang Mohammad Joshenry bin Haji Roslee dan Awang Mat Daud bin Mohd. Said serta ke rumah beberapa orang penerima yang tidak melepaskan peluang menjunjung keberangkatan baginda.

Pada keluasan 106 meter persegi, setiap unit rumah teres di Kawasan RPN Kampung Rataie tersebut mempunyai tiga buah bilik tidur, bilik mandi dan dapur. Dengan keluasan keseluruhan 158 hektar, Kawasan RPN Kampung Rataie terdapat 603 unit rumah di mana daripada jumlah berkenaan, 258 unit adalah rumah jenis teres. Kawasan perumahan tersebut merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif yang lengkap dengan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, taman, kawasan rekreasi dan taman permainan.

Menurut perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan hingga ke hari ini, lebih 28 ribu buah rumah dan lot tanah di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) seluruh negara telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan. Dari jumlah berkenaan, 635 orang adalah pemohon dari Daerah Temburong. Permohonan mengikuti Skim Perumahan yang diterima di daerah ini mencatatkan jumlah yang terendah dari daerah-daerah yang lain.

Dengan penyediaan perumahan di bawah SPN ini menggambarkan bahawa agenda pembangunan perumahan tersebut sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Kebawah DYMM dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments