Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18.11.19 YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim mara ke Peringkat Separuh Akhir



Kejohanan Badminton Terbuka Aewon 2019 membuka tirainya dengan menyaksikan penyertaan anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim yang menyertai Kategori Perseorangan Remaja Lelaki (B12).

Pada perlawanan dalam Kategori Perseorangan Remaja Lelaki (B12) itu, mutu permainan YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim mempamerkan persembahan yang begitu baik hingga berjaya melayakkan ke Peringkat Separuh Akhir yang akan berlangsung pada 22 November ini.

Kemenangan malam ini juga atas sokongan padu ayahanda dan bonda juga adinda YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman pada perlawanan yang berlangsung di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Terlebih dahulu, keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sepanjang perlawanan, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim berjaya memperlihatkan aksi peningkatan kemahiran permainan yang begitu strategik dengan hambatan yang tangkas hingga mengelirukan saingannya.

Pada Peringkat Suku Akhir itu, keputusan akhir berkesudahan dengan 21 - 16 di set pertama; dan 21 - 18 pada set kedua yang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim mematahkan impian pihak lawannya, Muhd. Mirza Afif Syahmi bin Sofian.

Setentunya, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim akan lebih gigih dalam mengatur strategi dan latihan untuk menghadapi saingannya Jumaat nanti, iaitu Muhd. Talipudin bin Ermadena pada Peringkat Separuh Akhir untuk menempah tiket ke Peringkat Akhir pada 23 November akan datang.

YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim juga akan berentap bagi Kategori Beregu Remaja Lelaki (B12).

Kejohanan yang dianjurkan oleh Aewon Brunei itu turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, disertai oleh lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk Miri, Sarawak, Malaysia.

Kejohanan berkenaan juga disertai oleh beberapa pemain berpengalaman dan akan berakhir pada 23 November 2019.

Kejohanan menggunakan Sistem Knock-Out, dibahagikan kepada lapan kategori, iaitu Perseorangan Remaja Lelaki (B12); Beregu Remaja Lelaki (B12); Beregu Lelaki Terbuka 'A'; Beregu Lelaki Terbuka 'B'; Perseorangan Lelaki Terbuka; Beregu Wanita Terbuka; Beregu Campuran Terbuka; dan Beregu Veteran Terbuka.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments