Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
09.03.20 MMN wadah strategik untuk rakyat dan negara



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah agar Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menjadi wadah strategik bagi memikir dan membahas perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat serta negara.

Dalam hal ini, Kebawah DYMM bertitah menekankan agar Ahli-ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dalam MMN supaya menyuarakan pandangan-pandangan mereka tanpa ragu-ragu dalam permesyuaratan kali ini,  kerana suara mereka adalah diperlukan untuk kebaikan, tegas Baginda.

Kebawah DYMM bertitah menegaskan perkara demikian ketika bertitah membuka rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis di sini.

"Harapan kita sangatlah tinggi untuk melihat Majlis Mesyuarat Negara menjadi wadah strategik bagi memikir dan membahas perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat dan negara. Apa jua usul dan hujah yang dikemukakan dalam persidangan hendaklah berasaskan kepada pemikiran dan penelitian yang rapi disokong oleh fakta-fakta yang betul dan tepat dan memfokuskan hanya kepada isu-isu yang relevan," titah baginda.

Dengan yang demikian, MMN tahun demi tahun masih memerlukan pemerkasaan, kerana masih terdapat sesetengah Ahli Yang Dilantik cuma lebih banyak bertanya dari memberi buah fikiran yang boleh menjadikan perbahasan kurang menarik, jelas baginda.

Dalam titah, baginda juga turut menyatakan tentang situasi ekonomi dunia pada hari ini yang didapati tidak menentu.

Walau bagaimanapun, menurut baginda,  negara kita masih saja mampu untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan di samping dapat menikmati beberapa pembaharuan di segi infrastruktur mahupun yang berbentuk dasar.

Lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan itu digawatkan lagi oleh pergolakan geopolitik dunia yang tidak berkesudahan kemudian secara mendadak, pasaran kewangan dunia pula terutama di rantau Asia mengalami masalah teruk akibat penularan wabak COVID-19, titah baginda.

"Kesan daripada wabak ini telah menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara di dunia, termasuk menjadi sebab kurangnya permintaan minyak dan gas dunia yang secara automatik menjadikan harga kedua-dua komoditi ini jatuh."

Perkara ini, titah baginda, boleh menyebabkan negara mengalami defisit setelah mencatat lebihan baki fiskal pada Tahun Kewangan 2018 / 2019. Namun kita tetap bersyukur kerana negara ditakdirkan bebas daripada wabak yang menggerunkan ini dan Negara Brunei Darussalam mudah-mudahan akan terus mendapat perlindungan Allah daripada serangan virus COVID-19.

Pada hemat baginda, semua yang terjadi adalah kerana berkat Brunei sentiasa menghayati doa, sama ada di masjid-masjid, di rumah-rumah di majlis-majlis dan pendeknya Brunei Darussalam sentiasa dan cukup makmur dengan doa.

Bagi mengekalkan nikmat dari Allah itu, baginda berharap supaya kita meneruskan amalan berdoa sebagai budaya bangsa.

Baginda juga melahirkan rasa syukur kerana sepanjang tahun 2019, kerajaan baginda masih dapat meraih beberapa pencapaian yang signifikan, antaranya transformasi Sektor Telekomunikasi yang mampu bertindak meningkatkan inovasi untuk mengubah landskap ekonomi negara ke arah era digital "The Fourth Industrial Revolution" melalui penubuhan Syarikat Unified National Network Sendirian Berhad, Syarikat UNN yang 100 peratus dipunyai oleh kerajaan baginda.

Manakala yang berkaitan dengan sumber tenaga manusia pula,  baginda telah memperkenankan bagi Manpower Planning and Employment Council (MPEC) di Jabatan Perdana Menteri bagi memikirkan langkah-langkah berkesan ke arah meningkatkan pekerjaan dan menangani isu pengangguran.

Bagi tujuan tersebut, baginda menyarankan agar dasar-dasar  ada mustahak diteliti, khususnya yang berkaitan dengan kemasukan pekerja-pekerja asing; halangan atau proses yang boleh menyekat komuniti bisnes dari berkembang; mengadakan latihan-latihan bagi membantu pencari-pencari pekerjaan, mengkaji semula 'syllabus' yang berkaitan dengan program latihan, mengkaji semula proses mempercepatkan pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam dan lain-lain.

Dalam pada itu, Kebawah DYMM juga telah memperkenankan penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong bagi tujuan menjana aktiviti perekonomian serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di daerah ini.

Mengenai dengan perbelanjaan kerajaan, baginda menasihatkan agar setiap agensi kerajaan dikehendaki berhati-hati dalam menggunakan peruntukan yang telah disediakan.

"Perlu diingat hasil pendapatan yang banyak tidaklah semestinya mampu untuk menjamin kestabilan dan kekukuhan kewangan andainya hasil itu tidak diurus dengan betul dan cekap. Tetapi dengan adanya amalan berhemah dan usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi? maka insyaaAllah kita akan dapat mengukuhkan kestabilan makroekonomi dan kedudukan kewangan negara," titah baginda.

Daripada titah baginda, sangat penting untuk diingat mengenai cara penggunaan wang kerajaan iaitu mestilah benar-benar telus dan amanah. Dan jangan sehingga berlaku sandiwara 'pintu belakang' dengan pihak-pihak tertentu di luar kerajaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments