Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
24.04.20 Banyakkan berdoa sepanjang bulan berkah ini



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, selaku orang Islam, kita juga mempunyai kelebihan tersendiri, iaitu digalakkan untuk menghadapi apa saja bencana, dengan doa.

Baginda menyeru kepada semua agar kita sama-sama melakukannya, lebih-lebih lagi, kebetulan pula dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini, di mana doa orang-orang berpuasa adalah sangat ampuh dan mustajab.

''Menyebut tentang kelebihan doa ini, beta teringat kepada doa dalam Qunut Nazilah yang dibaca pada hari Jumaat dalam Sembahyang Jumaat. Hingga sekarang, sudah beberapa Jumaat kita tidak dapat menunaikan Fardu Jumaat, dalam makna, dengan sendirinya Qunut Nazilah tidak dapat dibaca,'' titah baginda.

Tegas baginda, Qunut Nazilah masih saja perlu diteruskan, terutama dalam situasi kita menghadapi wabak COVID-19.

Baginda menjelaskan, Qunut Nazilah tidak semestinya hanya dilakukan di masjid secara berjemaah pada Hari Jumaat, malah ia juga boleh dibuat di rumah, sama ada secara berjemaah dengan keluarga atau bersendirian di dalam sembahyang-sembahyang fardu lima waktu.

Titah baginda, tetapi masih juga boleh dipilih mana waktu yang kita mampu atau sesuai melakukannya, seperti dalam Sembahyang Subuh atau Maghrib, tanpa memestikan ia dibuat dalam kesemua lima-lima waktu.

Yang penting, jelas baginda, Qunut ini terus dibaca, sementara menunggu masjid, surau dan balai ibadat beroperasi semula.

''Bagi kemudahan orang ramai melakukan semua ini, maka kenalah pihak yang berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, mengambil inisiatif menyediakan panduan dan Doa Qunut yang bersesuaian. Seeloknya ringkas dan mudah, tetapi padat menepati tujuan,'' titah baginda.

Dalam titah, baginda berpendapat, bukan sahaja kita di Brunei, malah umat Islam di seluruh dunia adalah sangat wajar untuk sama-sama mengambil kesempatan di bulan yang bersukut istimewa ini untuk merafakkan doa banyak-banyak supaya dunia kita cepat bebas daripada bahaya wabak COVID-19.

Bagi mengakhiri Titah Perutusan sempena Menyambut Bulan Ramadan Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi, baginda dan keluarga baginda, dengan hati suci, mengucapkan selamat berpuasa. Semoga kita sama-sama dikurniakan oleh Allah kesihatan dan kesabaran di sepanjang menjalani ibadat puasa. Ramadan Karim.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments