Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18.11.20 Kejayaan perlu digimbari kemahiran, kelayakan ilmu lain
dpmm_181120.jpg

Seramai 39 Graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) menerima Syahadah (Sijil) Diploma 'Aliyah Qiraat mereka pada Haflut Takharruj Kali Ke-8 ITQSHHB, yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat menyempurnakan Penganugerahan Syahadah Diploma 'Aliyah Qiraat tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj (Majlis Konvokesyen) Kali Ke-8; Ahli-ahli Lembaga ITQSHHB; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Pengerusi Lembaga ITQSHHB; Ahli-ahli Lembaga dan Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan ITQSHHB.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Majlis dimulakan dengan Persembahan Hafazan Ayat-ayat Suci Al-Quran, Surah Ibrahim, ayat 35 hingga 37 oleh Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib, sementara inti sari ayat dibacakan oleh Awang Mohamad Sabiq bin Haji Sulaiman.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, antara lain menyembahkan bahawa graduan yang berjaya hari ini perlu tahu bahawa kejayaan yang dicapai setakat Diploma 'Aliyah Qiraat masih perlu digimbari dengan kemahiran dan kelayakan ilmu-ilmu lain.

Dengan cara itu, sembah Yang Berhormat, negara akan mempunyai rakyat yang berpelajaran dan berkemahiran di bidang profesional yang juga adalah hafiz Al-Quran.

Sesungguhnya ini boleh dicapai kerana aliran pelajaran di institut ini adalah merangkumi juga mata pelajaran umum dan boleh lagi dikembangkan.

"Bagaimanapun setakat kejayaan cemerlang ini tidaklah menjadikan pimpinan institut setakat berpuas hati. Sebaliknya ia hendaklah dijadikan perangsang untuk mendorong ke arah membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi kerjaya graduannya dalam jangka pendek dan jangka panjang," tegas Yang Berhormat.

Hal itu, sembah Yang Berhormat, termasuklah untuk meneliti semula kandungan kursus untuk pelajarnya mengikuti kemahiran lain, di samping hafaz Al-Quran dan ilmu Al-Quran atau berpengetahuan dalam bidang agama semata-mata walaupun ia sangat mencabar, namun ia sangat perlu dan tepat untuk diusahakan.

Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan mengurniakan sabda.

Seterusnya DYTM berkenan menyempurnakan Pengurniaan Penganugerahan Syahadah (Sijil) Diploma 'Aliyah Qiraat kepada 39 Graduan ITQSHHB.

Pengurniaan Syahadah Diploma 'Aliyah Qiraat kepada graduan kali ini, terdiri daripada 20 siswa dan 19 siswi.

Seramai 22 penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang); 13 penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik); dan empat penerima pangkat Jayyid (Baik).

Penganugerahan Syahadah Diploma 'Aliyah Qiraat Al-Quran kepada para Graduan ITQSHHB adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa, khusus dalam bidang Hafazan Al-Quran dan ilmu Qiraat.

Bagi memohon keberkatan, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments