Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
04.05.21 Erat silaturahim dengan ceramah, penyampaian sumbangan
jpm_040521.jpg

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma sempena Hari Raya Aidilfitri bagi Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi, bertempat di Dewan Banquet, JPM. 

Majlis pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan Jabatan Penyelidikan Brunei, JPM. 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud. 

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan; Pegawai-pegawai juga Kakitangan JPM dan Jabatan-jabatan Di Bawahnya. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, dibacakan oleh Pembantu Keselamatan di Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Awang Abdul Wafi bin Haji Ibrahim. 

Beliau pernah menjadi johan di beberapa pertandingan musabaqah, antaranya Musabaqah Tilawah Al-Quran bagi Penduduk Daerah Brunei dan Muara (2013 & 2014); Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Dewasa Kebangsaan Peringkat Zon (2016); dan Pertandingan Zainul Quran (2018). 

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan Sesi Ceramah Khas, bertajuk 'Nuzul Al-Quran dan Mesejnya', disampaikan oleh penceramah undangan, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. 

Ceramah, antara lain menggariskan tentang Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk juga menjelaskan perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. 

Juga turut dikongsikan, sedikit sejarah dan sirah mengenai Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tentang sejarah kelahiran Nabi, Permulaan Wahyu, Al-Quran diturunkan, kelebihan Al-Quran juga kaitannya dengan Lailatulqadar. 

Matlamat ceramah, untuk melazimkan doa harian, memperbanyakkan istighfar, menghalusi sebahagian tertib solat, melazimkan salam dan membiasakan zikir pagi juga petang. 

Dalam pada itu, atur cara majlis turut diselajurkan dengan Penyampaian Sumbangan Derma sempena Aidilfitri, disampaikan oleh tetamu kehormat majlis kepada 52 penerima, terdiri daripada Kakitangan di JPM dan Jabatan-jabatan Di Bawahnya. 

Acara seumpama ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang diadakan dan dikendalikan secara bergilir-gilir oleh jabatan-jabatan di bawah JPM dalam sama-sama menyemarakkan lagi Bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh dengan rahmat, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara warga JPM dan Jabatan-jabatan Di Bawahnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments