Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
06.06.21 Kejohanan Polo Amal: Memeduli hal ehwal golongan berkeperluan khas

hm_060621.jpg

Dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan dan juga ke arah memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada orang-orang yang berkeperluan khas di negara ini, pelbagai usaha telah dan terus dijalankan bagi memeduli hal ehwal golongan berkeperluan khas sama ada dari segi pemulihan, pembelajaran dan pekerjaan, melalui kerjasama dan sumbangan orang ramai melalui kempen-kempen amal, sumbangan secara langsung atau aktiviti-aktiviti amal.

Sehubungan itu, selaku masyarakat yang pemedulian dan sejajar dengan kebudayaan dalam masyarakat Brunei, sekali lagi satu Kejohanan Polo Amal dianjurkan oleh Pasukan Polo Brunei dengan kerjasama Persatuan Polo Diraja Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang kini memasuki kali kelima ia diadakan.

Kejohanan dihasratkan untuk membantu mengumpul dana bagi kos operasi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, iaitu sebuah pertubuhan kebajikan amal bukan kerajaan dan bukan berasaskan keuntungan, yang sentiasa berusaha dalam menyediakan pendidikan berkualiti, termasuk perkhidmatan penjagaan dan pemulihan bagi individu yang berkeperluan khas di Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan Polo Amal 2021 yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club itu diserikan lagi dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkenan menyaksikan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kejohanan.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Pengerusi Persatuan Polo Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.

Juga berangkat menyaksikan kejohanan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.

Kejohanan kali ini menyaksikan tiga pasukan berentap bagi merebut trofi kemenangan terdiri daripada pasukan The Addams Family yang disertai oleh paduka anakanda Kebawah DYMM, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; pasukan The Incredibles dan pasukan Angry Birds yang disertai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Angry Birds berjaya menjulang trofi kejohanan setelah berjaya mengalahkan pasukan The Incredibles dan The Addams Family masing-masing dalam 2 chaka perlawanan.

Pada perlawanan pertama menyaksikan pasukan Angry Birds berjaya menewaskan pasukan The Incredibles dengan kiraan 3 - 2, manakala dalam perlawanan kedua, pasukan The Incredibles sekali lagi tewas kepada pasukan The Addams Family dengan kiraan 3 - 4.

Perlawanan ketiga kemudiannya menyaksikan Angry Birds berjaya mengalahkan pasukan The Addams Family dengan kiraan 2 - 0.

Dengan keputusan tersebut, pasukan The Addams Family muncul tempat kedua kejohanan dan tempat ketiga diraih oleh pasukan The Incredibles.

Kejohanan Polo Amal kali ini juga dimeriahkan lagi dengan karnival yang disertai oleh pengusaha-pengusaha jualan makanan dan minuman tempatan di samping pelbagai aktiviti Fun Game untuk disertai oleh para pengunjung yang membanjiri acara tersebut sejak dari jam 12.00 tengah hari.

Selain itu, para pengunjung juga dihiburkan dengan beberapa persembahan menarik daripada para pelajar, ibu bapa dan kakitangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta persembahan daripada Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Kejohanan juga dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah bagi pemegang-pemegang tiket yang berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif dan menarik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Kemuncak acara turut diserikan dengan Jualan Lelong Amal berupa Topi Polo Edisi Terhad yang ditandatangani oleh Kebawah DYMM berserta pemain-pemain pasukan Polo Brunei dan Topi Polo Edisi Terhad semasa Sukan SEA Ke-30 di Republik Filipina yang ditandatangani oleh pemain-pemain Polo Negara Brunei Darussalam pada Sukan SEA Ke-30, Republik Filipina.

Kesemua hasil kutipan pada Kejohanan Polo Amal tersebut nanti akan disalurkan sepenuhnya kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, demi memanfaatkan warga orang-orang berkeperluan khas menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Kejohanan yang dianjurkan sejak tahun 2016 itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai setiap kali ia dianjurkan dan melalui acara seumpama ini ia juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menyokong hak dan keperluan orang-orang berkeperluan khas di negara ini.

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam komited untuk meningkatkan kualiti kehidupan orang-orang berkeperluan khas di negara ini, terutamanya kepada kanak-kanak istimewa di bawah jagaan pusat berkenaan.

Organisasi berkenaan juga adalah untuk membimbing orang-orang muda, melatih dan mendidik mereka ke arah pembelajaran, kebebasan dan saling berdikari, dengan hasil pembangunan mental dan fizikal diri juga membantu mereka untuk menyesuaikan diri dalam kalangan keluarga mereka dan masyarakat sosial.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments