Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
12.11.21 Teknologi menjana peluang perekonomian baharu

hm_121121.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini, berkenan menyertai para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-28 secara maya, dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman. 

Mesyuarat APEC yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama The Right Honourable Jacinda Ardern selaku Pengerusi APEC bagi Tahun 2021 ini, antara lainnya memberikan tumpuan kepada pemulihan daripada COVID-19 untuk membangun kemakmuran rakyat dan generasi masa hadapan.

Pada Mesyuarat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan, bahawa ekonomi global masih lemah dan banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi pemulihan yang lebih mampan.

Mengambil maklum, bahawa APEC telah sepakat dengan visi yang sama, pada tahun lalu untuk dicapai menjelang 2040, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan Pelan Tindakan Aotearoa, yang akan memandu usaha-usaha APEC di masa hadapan. Dalam hal ini, baginda telah mengongsikan tiga perkara.

Pertama, titah baginda, APEC perlu menghidupkan semula dan memperkembangkan aktiviti-aktiviti perdagangan dan perekonomian. Usaha-usaha perlu memfokuskan kepada mengekalkan pembukaan pasaran, mengukuhkan rantaian nilai global dan memastikan sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, terbuka dan telus, di bawah kawalan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). APEC perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan-perniagaan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk kembali pulih dan berkembang. 

Negara Brunei Darussalam juga mengakui kepentingan teknologi sebagai kaedah bagi menjana peluang-peluang perekonomian yang baharu. Dalam hubungan ini, tambah baginda, kerjasama APEC perlu memperkembangkan potensi teknologi dan pendigitalan bagi transformasi industri, menggalakkan inovasi, juga pembangunan infrastruktur. 

Kedua, APEC perlu memastikan kesihatan dan kesejahteraan sosioekonomi penduduknya, terutama sekali bagi yang teruk terjejas oleh pandemik. Untuk itu, APEC perlu menganjurkan dasar yang memastikan mereka memperoleh pendidikan yang berkualiti; perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang asas; dan bantuan sosial yang mencukupi. 

Baginda juga bertitah menyatakan, bahawa pembaharuan-pembaharuan juga perlu untuk menyediakan pekerjaan yang berkualiti, pasaran buruh yang inklusif, dan tenaga kerja yang siap-siaga masa hadapan. Sehubungan ini, inisiatif-inisiatif APEC akan dapat mendukung usaha-usaha dalam mengembangkan bidang-bidang tersebut ke arah pembangunan manusia era baharu. 

Terakhir sekali, menurut baginda, APEC perlu melaksanakan agenda hijau dan pertumbuhan yang mampan. Negara Brunei Darussalam mengakui, bahawa tidak ada satu pendekatan sama yang dapat memenuhi keperluan semua, mengambil kira tahap pembangunan yang berbeza bagi setiap negara. 

Sebagai penjana idea, APEC mampu memberikan nilai tambah pada agenda tindakan iklim, di samping peluang untuk mengongsikan amalan-amalan terbaik dan tindakan-tindakan dasar yang akan dapat mendukung peralihan pencemaran ke tahap yang lebih rendah. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memuji New Zealand atas kejayaannya dalam memacu usaha-usaha pemulihan di rantau Asia Pasifik, dan menghargai, bahawa di bawah kepimpinan New Zealand, APEC telah memaparkan kesepaduan dalam tindakan-tindakannya menangani impak-impak COVID-19. 

Pada mengakhiri titah, baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri Thailand selaku bakal Pengerusi APEC, dalam berusaha untuk memastikan masa depan yang inklusif, mampan dan makmur bagi rantau Asia Pasifik. 

Terdahulu, Pengerusi APEC 2021 dalam Ucapan Pembukaannya, antara lainnya mengambil maklum, bahawa ekonomi-ekonomi APEC telah mengalami pengurusan pandemik COVID-19 yang unik ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi; memastikan perniagaan-perniagaan mampu bertahan juga memastikan pekerjaan untuk orang ramai; dan mempertahankan respons yang saksama. 

Puan Yang Terutama The Right Honourable juga menggesa untuk memperkukuhkan lagi penglibatan belia dalam rantau APEC dengan memastikan kerjasama dan masa hadapan digital untuk semua. 

Dalam Mesyuarat ini, para pemimpin juga mendengarkan pembentangan daripada Pengarah Urusan Dana Monetari Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, antara lainnya menekankan, bahawa risiko terhadap pemulihan daripada pandemik telah meningkat, termasuk perbezaan pendapatan ekonomi-ekonomi APEC, memandangkan terdapat tahap vaksinasi dan ruang fiskal yang berlainan; peningkatan tekanan inflasi; juga keperluan untuk mentransformasikan ekonomi-ekonomi untuk menjadi lebih digital dan inklusif. 

Para pemimpin juga menyeru sokongan berterusan APEC terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, yang berdasarkan peraturan dan terbuka, dalam mencapai pemulihan inklusif juga mampan untuk rantau ini, termasuk melalui pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang tepat pada masanya. 

Bagi menyokong pemacuan pemulihan ekonomi, para pemimpin turut mengalu-alukan pemudahcaraan perdagangan, bersandarkan teknologi digital dan inovasi juga peningkatan mobiliti barangan dan manusia. 

Selain itu, APEC juga perlu mempertimbangkan bagi keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial dalam menangani isu perubahan iklim, demi memastikan manfaat dapat diraih bersama. 

Perdana Menteri New Zealand semasa menyampaikan Ucapan Penutup menggesa APEC untuk giat berusaha ke arah mencapai akses universal pada vaksin juga menangani halangan bagi mendapatkan liputan vaksinasi maksima. 

APEC dapat berusaha untuk menyokong pergerakan rentas sempadan juga meningkatkan peluang-peluang dan keberhasilan sosial bagi penduduk-penduduknya. Disebabkan kesan-kesan COVID-19 yang tidak seimbang, APEC boleh menyelaraskan pemulihan dengan matlamat jangka panjang untuk mencapai ekonomi-ekonomi yang mampan dan inklusif. 

Pada penghujung mesyuarat, Deklarasi Ketua-ketua Ekonomi APEC telah diluluskan dan Pelan Tindakan Aotearoa telah disahkan. 

New Zealand selaku Pengerusi APEC bagi Tahun 2021 menetapkan tiga keutamaan, iaitu Dasar-dasar Ekonomi dan Perdagangan yang Memperkukuhkan Pemulihan; Meningkatkan Kemasukan dan Kemampanan bagi Pemulihan; dan Meneruskan Inovasi dan Pemulihan Didayakan Secara Digital (Digitally-Enabled), dengan mempercepatkan kerja APEC dalam menyokong ekonomi digital. 

Selain daripada Mesyuarat rasmi Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC, pada November 2021, Informal Leaders' Retreat juga diadakan, pada 16 Julai 2021, di mana para pemimpin membincangkan kerjasama untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Mesyuarat itu menunjukkan komitmen APEC untuk terus berusaha ke arah pemulihan ekonomi dengan, antara lain, menggandakan usaha-usaha untuk mengeluarkan dan berkongsi vaksin COVID-19; memastikan rantaian bekalan rantau menyokong pengedaran vaksin COVID-19 yang selamat dan cekap, juga barangan berkaitan; memanfaatkan inovasi dan pendigitalan untuk menyokong perniagaan-perniagaan. 

Menjelang AELM, beberapa Mesyuarat Menteri-menteri diadakan, iaitu APEC Ministers Responsible for Trade (MRT), pada 5 Jun 2021; APEC Structural Reform Ministerial Meeting (SRMM), pada 16 Jun 2021; APEC Informal Finance Ministerial Meeting with the APEC Business Advisory Council (ABAC), pada 25 Jun 2021; The APEC Finance Ministers Meeting, pada 22 Oktober 2021; dan Mesyuarat Menteri-menteri APEC (AMM), pada 9 hingga 10 November 2021, yang membincangkan usaha-usaha menangani COVID 19; Dasar-dasar ekonomi dan perdagangan yang mengukuhkan pemulihan; Meningkatkan rangkuman dan kemampanan untuk pemulihan juga pemulihan mampan dan perubahan iklim. 

Beberapa Mesyuarat Menteri-menteri Sektoral lain juga turut diadakan, iaitu Mesyuarat Menteri-menteri yang Bertnggungjawab mengenai Keselamatan Makanan (APEC) Ke-6; Mesyuarat Menteri-menteri mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC 2021; Forum Ekonomi dan Wanita APEC 2021; dan Mesyuarat Peringkat Tinggi APEC 2021 mengenai Kesihatan dan Ekonomi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments