Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15.06.17 JPKE pantau premis perniagaan di Daerah Belait

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pengguna (BHEP)  meneruskan lawatan mengejut ke beberapa premis perniagaan di Daerah Belait.

Lawatan diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. Turut mengiringi ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JPKE, Awang Haji Asrul Adrain bin POKSPDSS Dr. Haji Ahmad dan seramai 10 pegawai dan kakitangan BHEP.

Menurut Siaran Akhbar JPKE, antara objektif lawatan mengejut bagi memastikan barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, khususnya minyak masak dan susu tepung berformula, untuk tidak melebihi harga maksima yang ditetapkan, manakala beras untuk tidak dijual melebihi harga subsidi yang ditetapkan.

Lawatan juga dihasratkan untuk memastikan para peniaga di negara ini mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) yang menghendaki barangan dijual untuk dipamerkan tanda harga dengan jelas.

Bagi harga barangan makanan terpilih di bawah Penetapan Harga Bermusim sempena bulan Ramadan dan Syawal 1438 Hijrah / 2017 Masihi, untuk tidak melebihi harga maksima yang ditetapkan.

Antara lain objektif penetapan harga maksima berkenaan adalah bagi membantu rakyat dan penduduk di negara ini dalam menampung perbelanjaan harian mereka sempena musim perayaan berkenaan.

Senarai barangan makanan yang ditetapkan harga maksima ialah daging ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, susu pekat, cair dan krim, tepung, sapuan coklat hazelnut, santan pekat, krim dan serbuk, serbuk cili udang kering dan kulit popia. 

Maklumat lanjut barangan makanan terpilih dan harga maksima yang ditetapkan bolehlah diperolehi di dalam aplikasi mudah alih ‘PenggunaBijak’ dan laman sesawang JPKE, iaitu www.depd.gov.bn/cad.

Sementara itu, lawatan juga bagi memantau peniaga-peniaga yang ikut serta dalam Jualan Aneka Brunei (JAB) mematuhi syarat-syarat jualan yang ditetapkan oleh JPKE termasuk membubuh tanda harga dengan terang dan jelas pada barangan, membubuh tanda harga asal, harga selepas potongan dan / atau peratus potongan dan mempamerkan Notis Penyertaan sepanjang tempoh JAB.

Di samping itu, lawatan juga adalah bagi memantau harga barangan tertentu yang terkandung di dalam perubahan kadar-kadar duti import kastam dan duti eksais, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan seperti minuman yang mengandungi gula berlebihan dan monosodium glutamate (MSG).

Semasa lawatan mengejut tersebut, sebanyak lima daripada 11 premis perniagaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti melebihi harga maksima yang ditetapkan, tidak mempamerkan tanda harga dan tidak mematuhi syarat jualan.

Di antara kesalahan lain juga termasuk meletakkan harga yang melebihi harga maksima bagi barangan makanan terpilih di bawah Penetapan Harga Bermusim seperti santan, tepung dan daging ayam bulat.

Peniaga-peniaga yang tidak mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya boleh dikenakan kompaun tidak melebihi BND1,000 atau dikenakan denda sebanyak BND5,000 dan penjara 2 tahun oleh mahkamah atau dikenakan denda sebanyak BND20,000 dan penjara 5 tahun bagi kesalahan berulang oleh mahkamah.

Manakala, peniaga yang didapati menjual melebihi harga maksima yang ditetapkan sempena bulan Ramadan dan Syawal 1438 Hijrah / 2017 Masihi juga boleh diambil tindakan termasuk amaran secara bertulis.

Dalam kesempatan ini, pihak JPKE menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan konsep “Pengguna Bijak”, iaitu dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian bagi mendapatkan nilai harga yang baik.

Di dalam usaha untuk menerapkan konsep “Pengguna Bijak”, JPKE juga telah melancarkan aplikasi mudah alih PenggunaBijak/SmartConsumer yang menyediakan platform perbandingan harga bagi barangan keperluan harian dan barangan dikawal harga; memperkenalkan undang-undang berkaitan dengan kepenggunaan dan menyediakan saluran aduan bagi pengguna.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung terus dengan JPKE melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak/SmartConsumer.

Atau melalui saluran seperti di bawah, iaitu dengan menghubungi talian telefon +673 2230223 (waktu pejabat), atau e-mel kepada ‘aduanpengguna@jpke.gov.bn’ atau ‘consumercomplaint@jpke.gov.bn’, atau melalui akaun Facebook ‘www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE’.

Atau mengunjungi terus ke pejabat Bahagian Hal Ehwal Pengguna di Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, BA1131 Negara Brunei Darussalam dengan memberikan dokumen dan maklumat sokongan seperti resit pebelian dan nama syarikat yang diadukan bagi melancarkan proses penyiasatan.

Sumber berita Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi
Attachments