Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
10.07.2017 Inisiatif dan 'idea besar' penting untuk majukan negara dan bangsa


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, sebagai faktor pendorong, pihak Yayasan juga tidak ketinggalan menyediakan beberapa Skim Penggalak seperti Skim Anugerah Sultan's Scholar, Skim Anugerah Kesusasteraan Islam dan Skim Anugerah Penulisan Islam.

Di samping itu, Yayasan juga telah menyediakan pelbagai pemberian atau hadiah atau sumbangan melalui program-program yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta termasuk skim-skim bantuan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya AidilFitri Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Peranan itu, titah baginda, diambil oleh Yayasan sebagai pelaburan jangka pendek ataupun panjang.

"Apabila sesuatu galakan atau bantuan disalurkan kepada mana-mana pihak, maka tidak syak lagi ia adalah satu pelaburan yang dapat ditunggu hasilnya berupa kemanfaatan," jelas baginda.

Di antara manfaat besar yang mungkin diraih itu, jelas baginda, adalah lahirnya para 'achievers' yang pernah menikmati anugerah skim atau bantuan daripada Yayasan.

Baginda seterusnya bertitah menekankan mengenai dengan bidang industri minyak dan pertanian, yang mana kedua-dua bidang itu tidak diragukan lagi nadi kepada negara, tetapi apakah sepatutnya sudah dimiliki dari sudut kepakaran.

"Usia industri minyak telah pun mendekati hampir satu abad tetapi peluang warga tempatan untuk menyandang jawatan-jawatan tinggi dan tertinggi masih saja mengecewakan.

Apakah ini belum lagi cukup untuk menyedarkan kita khasnya para 'achievers' termasuk pemimpin dan juga sekalian anak bangsa pada amnya? Sehingga bilakah negara mesti menunggu untuk keadaan ini berubah?" tegas baginda.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah, dalam bidang industri pertanian kelihatan tidak aktif atau masih kurang diaktifkan kerana keperluannya pada negara sangatlah besar.

Di manakah azam dan usaha untuk mengaktifkan bidang pertanian sehingga mencapai tahap sara diri atau mengurangkan pergantungan kepada komoditi import seperti beras?

"Di sinilah pentingnya inisiatif dan 'idea besar' untuk memajukan negara dan bangsa. Tanpa adanya inisiatif dan idea tersebut semua jentera tidak mampu bergerak untuk memastikan perkembangan dan kemajuan berjalan lancar," tambah baginda.

Sebelum mengakhiri titah, baginda menjelaskan bahawa pentingnya memiliki inisiatif dan idea selain disiplin ilmu. Inilah sebenar-benarnya kunci kemajuan dan kejayaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments