Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
08.08.17 Berkenan menghantar titah perutusan tahniah



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Republik Singapura.

Dalam titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Tony Tan Keng Yam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan kegembiraan dapat memenuhi undangan Tuan Yang Terutama bagi membuat lawatan ke Republik Singapura dalam mana baginda dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berpeluang mengukuhkan lagi komitmen kedua belah pihak terhadap pertalian persahabatan dan kerjasama yang istimewa dan unik di antara kedua-dua buah negara, terutama bagi rakyat masing-masing dan seterusnya berharap akan dapat meneruskan kerjasama yang rapat tersebut di tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, di dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Kebawah DYMM menghargai layanan mesra yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama dan Madam Ho Ching semasa keberangkatan Lawatan Negara baginda dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Republik Singapura yang menggambarkan persahabatan erat yang dinikmati sekian lama di antara rakyat Negara Brunei Darussalam dengan rakyat Republik Singapura di semua peringkat dalam pelbagai bidang.

Baginda seterusnya berharap dapat meneruskan kerja bersama Tuan Yang Terutama ke arah mengukuhkan perhubungan yang penting dan sangat bernilai baik dalam bidang dua hala mahu pun dalam kerjasama serantau khususnya ketika Singapura menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan baginda kepada Tuan Yang Terutama, Dr. Tony Tan Keng Yam dan Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong itu, baginda menyampaikan ucapan muhibah kepada Tuan-Tuan Yang Terutama dan keluarga dan semoga mereka berada dalam kesihatan yang baik dan penuh kegembiraan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments