Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
09.08.17 DPMM tinjau strategi pembelajaran dua buah sekolah



Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Sponsor dan Pengerusi Jawatankuasa Pandu PENGGERAK telah berkenan membuat lawatan tidak berjadual ke dua buah sekolah kerajaan di ibu negara.

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan berangkat melawat Sekolah Menengah Masin di mana keberangkatan tiba DYTM dijunjung oleh Pemangku Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Hajah Laila Kartika binti Md. Noor.

DYTM kemudian berkenan meninjau prasarana sekolah tersebut, di samping membuat tinjauan ke atas beberapa sesi pembelajaran di dalam bilik-bilik darjah dan mendengarkan sendiri guru-guru mengajar dengan menggunakan kaedah-kaedah bagi meningkatkan pembelajaran pelajar masing-masing.

Pada lawatan tersebut, DYTM juga berkenan mempengerusikan sesi perbincangan bersama dengan Pemangku Pengetua dan guru-guru kanan mengenai kemajuan dan perkembangan sekolah berkenaan khususnya dalam usaha untuk memperkesankan pembelajaran setiap pelajar.

Perbincangan juga mendengarkan pembentangan ringkas School Progress Plan yang merupakan kaedah dan rujukan strategi-strategi penambahbaikan serta pemantauan pelaksanaan dan kemajuan dari aspek pengajaran juga pembelajaran di sekolah tersebut.

Semasa lawatan tersebut, DYTM telah berkenan mengurniakan sabda kepada pelajar-pelajar menekankan akan pentingnya untuk terus gigih berusaha dengan penuh keyakinan diri untuk mencapai kecemerlangan masing-masing, kerana pelajar-pelajar adalah aset paling berharga dan penerus pada kesinambungan kemajuan serta pembangunan negara masa akan datang.

DYTM juga menyentuh mengenai peranan utama yang perlu dimainkan oleh guru-guru dalam memastikan setiap pelajar diberi sokongan dan bimbingan yang diperlukan.

Sekolah Menengah Masin pada masa ini menempatkan seramai 995 orang pelajar dan 109 orang guru. Sekolah tersebut menyambut Ulang Tahun Ke-10 Penubuhannya pada bulan Jun tahun lepas.

Dari Sekolah Menengah Masin, DYTM kemudian meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Bengkurong dan dijunjung oleh Guru Besar sekolah, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr. Haji Harun.

DYTM seterusnya melawat ke bilik-bilik darjah dan menyaksikan secara dekat sesi pembelajaran serta tatacara pengajaran guru-guru.

DYTM juga berkesempatan mengurniakan sabda kepada pelajar-pelajar Tahun 6, dengan mengingatkan pelajar-pelajar supaya sentiasa belajar dengan tekun serta mendengar nasihat guru-guru dan ibu bapa mereka.

DYTM mengakhiri lawatan ke sekolah tersebut dengan sesi perbincangan bersama Guru Besar dan guru-guru kanan sekolah tersebut yang tertumpu pada inisiatif-inisiatif sekolah terkini bagi tujuan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

Sekolah Rendah Bengkurong kini menempatkan seramai 194 orang pelajar dan 30 orang guru.

Di sepanjang keberangkatan lawatan, DYTM diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

Lawatan yang tidak berjadual ini memberikan peluang kepada DYTM untuk membuat pemerhatian langsung terhadap rutin harian sekolah sebagai kesinambungan pada usaha berterusan DYTM ke arah memastikan setiap strategi pengajaran serta pembelajaran dilaksanakan secara konsisten dan berkesan juga memberi impak positif pada pembelajaran pelajar.

Lawatan tersebut juga untuk memastikan keberhasilan usaha-usaha kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama berkaitan Pendidikan Rendah dan Menengah di negara ini melalui inisiatif-inisiatif antara lainnya seperti mempersiapkan pelajar bagi Program for International Students Assessment (PISA) tahun depan juga Program Bimbingan Literasi dan Numerasi.

Matlamat keseluruhannya adalah menjurus pada menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan guru-guru di negara ini ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments