Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
26.11.17 Berangkat ke acara Lumba Perahu sempena Jubli Emas

Perairan Sungai Brunei berhadapan Dermaga Diraja, di ibu negara sekali lagi menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara bagi menyaksikan acara Lumba Perahu Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.


Setentunya acara sukan air tradisi yang sudah sekian lama diteruskan ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu, bukan sahaja penggiat lumba perahu malah segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini.


Berangkat menyaksikan acara pada sesi pagi hari ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Turut berangkat, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.


Keberangkatan DYTM dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah Mukim; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.


Sejurus keberangkatan, DYTM dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, bagi melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi Antara Kementerian-Kementerian 25 Pekayuh.


Setelah itu DYTM dijunjung kembali ke Pentas Diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Tradisi Terbuka 30 Pekayuh dan Lumba Perahu Fiberglass Belia-Belia Terbuka 20 Pekayuh.


DYTM juga berkenan untuk mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang perlumbaan lumba perahu bagi sesi pagi.


Acara lumba perahu ini diungkayahkan sempena Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta di bawah Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah Mukim Sempena Kebawah DYMM Menaiki Takhta.


Acara tersebut merupakan salah satu acara bagi memeriahkan Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Attachments