Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
04.01.18 NBD - Republik Kesatuan Myanmar tingkatkan persahabatan, kerjasama

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Htin Kyaw dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi dan kerajaan serta juga rakyat Myanmar bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar Yang Ke-70 Tahun.


Dalam titah perutusan kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan yang Terutama U Htin Kyaw, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan, dalam Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar meraikan Ulang Tahun Ke-25 penubuhan hubungan diplomatiknya, baginda berharap dapat meningkatkan persahabatan dan kerjasama yang bernilai yang telah dinikmati selama ini sebagai rakan dua hala dan serantau terutamanya dalam ASEAN.


Sementara itu, dalam titah perutusan kepada Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi, baginda menzahirkan dalam sama-sama memperingati Ulang Tahun Ke-25 penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Kesatuan Myanmar, baginda merakamkan penghargaan yang amat mendalam di atas persahabatan yang wujud di antara rakyat dan kerjasama yang berkembang di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar.


Baginda seterusnya merakamkan penghargaan di atas sumbangan peribadi Puan Yang Terutama dalam mengukuhkan rangkaian kerjasama dua hala dan serantau. Baginda juga percaya dengan lawatan Puan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam dalam bulan Oktober yang lepas, setentunya akan mengukuhkan lagi hubungan bernilai dan sekian lama di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Kesatuan Myanmar.


Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, baginda menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Tuan yang Terutama U Htin Kyaw dan Konsular Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Daw Aung San Suu Kyi.



Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Radio Television Brunei

Attachments