Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

Title

27.02.14 MPK Kapok raih Anugerah AKC Ke-3

Body


Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kapok, Mukim Serasa, Daerah Brunei dan Muara (DBM) terpilih sebagai pemenang Anugerah Perak bagi Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) Peringkat Kebangsaan Ke-3 Tahun 2014.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah tersebut pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Anugerah Perak berupa wang tunai sebanyak BND15,000, bantuan 'grant' sebanyak BND40,000 bagi projek pembangunan dan kesejahteraan, plak, piala dan sijil diterima oleh Ketua Kampung Kapok, Awang Haji Marali bin Haji Ahmad.

Pemenang Anugerah Perak tersebut berjaya memenuhi kelima-lima kriteria penilaian AKC Peringkat Kebangsaan Ke-3, antaranya menyatukan warga kampung selari dengan tujuan dan objektif AKC iaitu meningkatkan integrasi masyarakat.

Melalui usaha-usaha yang telah dibuat itu dapat menyerlahkan kampung berkenaan sehingga dikunjungi oleh orang ramai termasuk pelancong dari luar negara.

Seperti pada AKC yang lepas, tidak ada MPK yang berjaya memenangi pingat emas.

Sementara itu, Pemenang Anugerah Gangsa disandang oleh MPK Kiudang Mukim Kiudang, Daerah Tutong yang diterima oleh Ketua Kampung Kiudang, Awang Haji Mohamad Saiful bin Abdullah Anja.

Pemenang Anugerah Gangsa menerima wang tunai bernilai BND10,000, bantuan 'grant' sebanyak BND30,000 bagi projek pembangunan dan kesejahteraan, plak, piala dan sijil.

MPK Kiudang menunjukkan pencapaian pada sebahagian kriteria penilaian antaranya aspek perekonomian kampung dan hal-hal kemasyarakatan, di samping berjaya menyatukan masyarakat kampung melalui projek berkonsepkan pelancongan.

Pada majlis itu MPK Belimbing, Mukim Kota Batu, DBM dan MPK Belais dan Buda-Buda, Mukim Bokok, Daerah Temburong masing-masing juga terpilih menerima hadiah penghargaan.

Menerima bagi MPK Belimbing ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Mohd. Daud bin Karim yang juga Ketua Kampung Belimbing, manakala menerima bagi MPK Belais dan Buda-Buda ialah Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda, Awang Haji Ahmad bin Md. Husain @ Haji Jibma.

Kedua penerima penghargaan itu masing-masing menerima wang tunai sebanyak BND7,000, bantuan 'grant' sebanyak BND15,000 bagi projek pembangunan dan kesejahteraan, plak dan sijil.

Meskipun terdapat Majlis-Majlis Perundingan Kampung (MMPK) yang telah menunjukkan pencapaian yang meningkat daripada AKC Peringkat Kebangsaan Ke-2, tetapi usaha-usaha yang lebih keras masih lagi diperlukan dengan mengambil kira pencapaian setakat ini belum sampai ke tahap optima yang dikehendaki.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan pencapaian tersebut, antaranya dengan lebih menekankan kefahaman dan keyakinan MMPK terhadap AKC.

Selain itu KHEDN juga akan terus memberikan bimbingan kepada MPK yang menyertai AKC serta membuat tambahan kepada proses penilaian supaya setiap usaha yang dibuat oleh MMPK itu dapat dinilai dengan lebih fokus ke arah meningkatkan pencapaian MPK ke tahap yang lebih tinggi.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Description

Front page image

Category

His Majesty News
Attachments