sut_hjroslan.jpg 
DATO SERI PADUKA AWANG HAJI MOHAMAD ROSELAN BIN HAJI MOHAMAD DAUD

TIMBALAN MENTERI

KORPORAT, PENGGERAK DAN EKONOMI
 

Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan Haji Mohd Daud memulakan kerjaya dengan Perkhidmatan Pentadbiran Brunei (BAS) pada tahun 1985 di Kementerian Kewangan. Pada tahun 1994, beliau telah menjalani penempatan (seconded) ke Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam Brunei (IBB) pada tahun 2002 dan pada masa yang sama sebagai Pengarah Urusan Takaful IBB. Beliau kembali bertugas semula ke Kementerian Kewangan pada tahun 2006 sebagai Pemangku Pengarah Institusi Kewangan dan kemudian dilantik sebagai Pemangku Pengarah Penyelidikan dan Antarabangsa. Beliau juga pernah menjadi Penasihat kepada Pengarah Eksekutif IMF, Washington D.C. pada bulan Jun 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran) di Kementerian Kewangan pada bulan Oktober 2008.

Pada bulan Oktober 2009, Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan telah dilantik sebagai Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan. Dua tahun kemudian, pada bulan Oktober 2011, beliau telah berpindah sebagai Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 22 Oktober 2015, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan untuk melantik Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Perkhidmatan Awam, PENGGERAK dan Ekonomi.

Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan memegang ijazah dalam Penggubalan Dasar Awam dan Pentadbiran dari University of Birmingham dan MBA dalam Pengurusan Ijazah Perbankan (dengan cemerlang) dari School of Business and Economics of the University of Exeter. Beliau menamatkan pendidikan menengah dan pra-universiti di Republik Singapura.

Beliau merupakan bekas ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bagi Negara Brunei Darussalam pada tahun 2003 - 2006. Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) dan juga sebagai ahli Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei dari 2011 hingga 2015. Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan kini dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sejak Januari 2014 dan Dana ‘Sustainability’(SF) mulai Mac 2016.

Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan telah dianugerahkan bintang-bintang dan pingat-pingat kebesaran seperti berikut:

  • Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) pada  2017;
  • Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (DPMB) pada 2011;
  • Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Berbahagia Darjah Ketiga (SNB) pada 2010;
  • Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (SMB) pada 2002;
  • Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) pada 2001;
  • Pingat Kerja Lama (PKL) pada 2009;dan
  • Pingat Seri Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Berbahagia (PSB) pada 1997.

Beliau dilahirkan pada 25 Ogos 1961, berkahwin dengan Datin Dr. Hajah Asmah binti Haji Murni dan dikurniakan dua (2) orang anak lelaki dan seorang (1) anak perempuan. Beliau menggemari sukan bola sepak, golf, badminton dan berlari.