YANG BERHORMAT DATO SERI PADUKA HAJI AWANG ABDUL MOKTI BIN HAJI MOHD DAUD

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI


Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud telah dikurniakan lantikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 30hb. Januari 2018 untuk tempoh lima (5) tahun.

Yang Berhormat Dato mula berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 01hb Disember 1971. Sebelum dikurniakan lantikan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato pernah menjawat beberapa jawatan tinggi/penting di beberapa buah kementerian antaranya Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama bermula 22hb Oktober 2015 hingga 29hb Januari 2018, Timbalan Pengarah Pusat Da’wah Islamiah, Pengetua Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (sekarang dikenali dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan), Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Ketua Pegawai Perkembangan Ugama (Da’wah dan Tabligh), Penguasa Da’wah Dan Tabligh dan jawatan-jawatan penting lainnya.

Selain berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Dato juga pernah berkhidmat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Kebajikan, Belia dan Sukan (1983-1985).

Selama hampir 30 tahun Yang Berhormat Dato pernah bertugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri sebagai Pengarah Pentadbiran dan pernah dilantik menjadi Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Yang Berhormat Dato juga mempunyai pengalaman yang cukup luas ketika dilantik sebagai Duta Besar Istimewa Dan Mutlak / Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam selama lebih kurang 26 tahun terus menerus. Beliau merupakan pegawai yang paling lama berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri. Pada tahun 1989 - 1996, Yang Berhormat Dato telah dilantik menjadi Duta Besar Istimewa Dan Mutlak ke Kingdom of Saudi Arabia (kali pertama) dan pada masa yang sama Yang Berhormat Dato juga telah ditauliahkan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Duta Besar (Tidak Menetap) masing-masing ke Negara-Negara Republik Islam Pakistan, Kesultanan Oman dan Kingdom of Bahrain. Di samping itu juga mengendalikan hubungan-hubungan dan urusan rasmi Kerajaan Brunei ke Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates), Emiriah Qatar dan Kerajaan Kuwait. Pada April 1996 - Ogos 1997, Yang Berhormat Dato kemudiannya dilantik menjadi Duta Besar Istimewa Dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran.

Yang Berhormat Dato kemudiannya dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India (1997 – 2001) dan pada masa yang sama ditauliahkan sebagai Pesuruhjaya Tinggi / Duta Besar (Tidak Menetap) ke Negara-Negara Sri Lanka dan Nepal. Pada masa yang sama mengendalikan hubungan-hubungan dan urusan-urusan rasmi Kerajaan ke Republik Maldives. Seterusnya, Yang Berhormat Dato kemudiannya dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Bangladesh pada tahun 2001 - 2005.

Pada Mei 2006 - November 2012, Yang Berhormat Dato telah dilantik menjadi Duta Besar Istimewa Dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Hashemite Kingdom of Jordan dan pada masa yang sama ditauliahkan sebagai Duta Besar (tidak menetap) ke Negara-Negara Republik Turki dan Republik Yaman. Di samping itu juga mengendalikan hubungan-hubungan dan urusan-urusan rasmi Kerajaan Brunei ke Republik Syria, Lebanon dan Palestin.

Pada 25hb Mei 2013, bagi kali yang kedua Yang Berhormat Dato sekali lagi dilantik menjadi Duta Besar Istimewa Dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kingdom of Saudi Arabia sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 22hb Oktober 2015.

Yang Berhormat Dato seringkali menghadiri persidangan-persidangan dan mesyuarat-mesyuarat di luar negara seperti New York, Washington DC, Geneva, United Kingdom, Negara-negara ASEAN, Cyprus, Pakistan, India, Sri Lanka, Malta, Morocco, Egypt dan beberapa buah Negara Eropah.

Yang Berhormat Dato juga aktif menyertai persidangan dan mesyuarat sebagai ahli rombongan Duli Yang Teramat Mulia Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Dan Perdagangan ke Negara-Negara Eropah, Timur Tengah, Jepun, Korea dan beberapa buah Negara di Asia.

Yang Berhormat Dato mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Muhammad Alam Seria, Sekolah Melayu Berakas, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah dan Diploma di beberapa buah universiti, kolej dan institusi pendidikan di Kaherah (Republik Arab Mesir), Birmingham (United Kingdom), Selangor (Malaysia) dan Republik Singapura.

Yang Berhormat Dato mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajah Zalina binti Haji Omar dan dikurniakan enam orang cahayamata dan sembilan orang cucu.