Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksSenior-Minister



senior_minister2.jpg

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH


MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI


Duli Yang Teramat Mulia diisytiharkan sebagai Duli Pengiran Muda Mahkota pada 10hb Ogos 1998. 

Duli Yang  Teramat Mulia dilantik sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 24hb Mei 2005. 

Duli Yang Teramat Mulia diputerakan pada 17hb Februari 1974 di Bandar Seri Begawan. Pendidikan awal Duli Yang Teramat Mulia bermula di Negara Brunei Darussalam sebelum mengikuti pengajian seberang laut di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom pada Oktober 1995. Duli Yang Teramat Mulia dianugerahkan Diploma dalam bidang ‘Diplomatic Studies’ pada 1997 setelah berjaya menamatkan Program Perkhidmatan Luar Universiti Oxford di Magdalen Kolej, Universiti Oxford. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menganugerahkan Duli Yang Teramat Mulia pangkat Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 2004, dan pangkat Timbalan Inspektor Jeneral bagi Pasukan Polis Diraja Brunei pada 2005. 

Lantikan-lantikan yang disandang Duli Yang Teramat Mulia termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (2011-2020); Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (sejak 2014); Pengerusi kepada Lembaga Pengarah-Pengarah bagi Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Ventures (sejak 2018); Penaung Di-Raja kepada Majlis Kebangsaan Nadi Borneo (sejak 2011); Penaung Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (sejak 2018); Pengerusi Manpower Planning Council (2015-2019); Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan (2006-2018); dan Ketua Pengakap bagi Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (sejak 2013). 

Duli Yang Teramat Mulia adalah Pro-Canselor bagi Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dan Universiti Teknologi Brunei (UTB). 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menganugerahkan Duli Yang Teramat Mulia Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 4hb September 2006 di Majlis Konvokesyen UBD ke-18. 

Dalam Ehwal Antarabangsa, Duli Yang Teramat Mulia pernah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi lawatan rasmi dan juga berangkat menghadiri Persidangan-Persidangan dan Mesyuarat-Mesyuarat Rasmi di luar negara termasuk menjadi wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan seterusnya menyampaikan ucapan di perhimpunan tersebut pada 2008, 2011, 2012 dan 2014. 

Pelantikan-pelantikan dan penghormatan-penghormatan berkenaan bukan sahaja mengetengahkan kedudukan dan kaliber Duli Yang Teramat Mulia, malah turut mengukuhkan keyakinan serta dorongan tentang peranan Duli Yang Teramat Mulia yang signifikan di dalam mendukung kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. 

Duli Yang Teramat Mulia melangsungkan perkahwinan dengan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman serta dikurniakan dua orang putera dan dua puteri iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim diputerakan pada 17hb Mac 2007; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah diputerakan pada 2hb Januari 2011; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman diputerakan pada 7hb Jun 2015; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah diputerakan pada 1hb Disember 2017. 

Duli Yang Teramat Mulia meminati sukan snooker dan bowling, serta badminton dan bola sepak. Duli Yang Teramat Mulia juga pernah menyertai berbagai kejohanan snooker dan badminton serta mewakili negara di kejohanan serantau dan antarabangsa. 

Duli Yang Teramat Mulia jua memiliki kelab bolasepak sendiri yang dikenali sebagai Kelab Bolasepak DPMM.