Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2021

11.12.21 NBD beralih ke Fasa Endemik bermula 15 Disember 2021

hm_111221.jpg

Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baharu, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak ke hadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata’ala. 

“Maka dalam hubungan ini, beta bertawakal kepada-Nya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik Negara pada Rabu, 10 Jamadilawal 1443 bersamaan dengan 15 Disember 2021,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan Titah Perutusan Khas bagi Tahun 1443 Hijrah / 2021 Masihi, yang disiarkan di seluruh negara, malam tadi.  

Dalam fasa ini, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan dalam kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baharu. 

“Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha kerajaan. Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan,” titah baginda.

Tidak dapat dinafikan, titah baginda, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih sahaja ada. 

Oleh itu, baginda mengingatkan, kita janganlah lalai daripada terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan norma baharu adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan.

Namun, titah baginda, pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah, kita juga perlu kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini kita laksanakan, iaitu Sembahyang Hajat, membaca Al-Quran, berselawat, berdoa dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam daripada wabak koronavirus.

“Dalam kita bakal meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baharu, kita janganlah lupa terhadap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya disebabkan kerana jangkitan. Beta sendiri turut bersimpati dan merasakan kesedihan yang amat mendalam di atas pemergian mereka itu. 

“Beta juga terharu dengan kesabaran ahli keluarga yang tidak dapat mengebumikan atau membuat penghormatan terakhir kepada insan-insan tersayang akibat terhalang oleh pandemik,” titah baginda lagi. 

Baginda juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat masing-masing. 

Baginda juga turut memberikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang sentiasa berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam menangani wabak koronavirus.

“Marilah kita berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga keputusan untuk beralih kepada Fasa Endemik ini mendapat keberkatan serta segala perancangan dipermudahkan dan berjaya. Amiin Ya Rabbal Alamiin,” titah baginda sebelum mengakhiri perutusan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments