Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan menyempurnakan penyembelihan ibadah korban
17/06/2024

‚Äčhm_1706241.jpg

Sebanyak 198 ekor haiwan korban iaitu 184 sapi dan 14 kambing dikorbankan pada tahun ini bagi Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda bersempena dengan Hari Raya Aidiladha Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi. 

Berangkat pada majlis berlangsung di Pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sejurus selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha di sini ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Juga berangkat paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja ke pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat baginda bersempena dengan Hari Raya Aidiladha Tahun 1445H / 2024M. 

Pada majlis tersebut, sebanyak empat ekor kambing disempurnakan penyembelihannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta diikuti paduka-paduka anakanda baginda. 

Manakala penyembelihan haiwan-haiwan korban Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat baginda yang selebihnya disempurnakan di Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong dan Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak di Lot G, Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut. 

Pada tahun ini, sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada sejumlah 14,944 orang iaitu kepada asnaf fakir dan miskin berserta tanggungan di seluruh negara. 

Aidiladha adalah hari yang dibesarkan dengan ibadah korban. Ibadah korban itu adalah ibadat yang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim Alaihissalam, kemudian Allah Subhanahu Wata'ala mensyariatkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada Tahun Kedua Hijrah. Sesungguhnya agama Islam telah mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. 

Pada hari ini, umat Islam yang berkemampuan tidak mahu melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban iaitu menyembelih binatang sebagai tanda takwa dan syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala rezeki yang dikurniakannya. 

Ibadah korban merupakan amalan yang dihukumkan sebagai Sunat Muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut dan amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga sentiasa menggalakkan para sahabat Baginda melakukan ibadah korban kerana ibadah korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto