
Daerah Temburong menjadi daerah kedua tumpuan rakyat dan penduduk daerah berkenaan bagi sama-sama menantikan dengan keriangan keberangkatan raja yang dikasihi ke Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Helipad Pekan Bangar dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-78 serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba, baginda dijunjung berangkat ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong sebelum meneruskan keberangkatan ke Pentas Diraja di kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Para penuntut sekolah beratur di sepanjang tepi jalan raya sambil mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan paluan hadrah bagi sama-sama mengalu-alukan keberangkatan Kebawah DYMM serta kerabat diraja.
Sejurus berangkat tiba di Pentas Diraja, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan.
Kebawah DYMM serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung bagi menyaksikan Persembahan Khas bertemakan 'Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja' yang berkonsepkan Raja Berkat Negara Zikir dengan mempersembahkan tiga segmen Persembahan Khas yang melibatkan seramai 421 peserta.
Peserta Persembahan Khas berkenaan melibatkan para penuntut dari Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong; Sekolah Arab Temburong; para pelajar daripada sekolah-sekolah rendah di Daerah Temburong, iaitu Sekolah Rendah Puni, Sekolah Rendah Rataie, Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, dan Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar; Gabungan Belia Daerah Temburong; Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'PERSIB' Cawangan Daerah Temburong.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Pentas Persembahan Khas untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta dan seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong.
Berangkat mengiringi Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Kebawah DYMM bercemar duli berkenaan tidak dilepaskan begitu sahaja oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini, kerana ia merupakan peluang keemasan bagi mereka untuk menjunjung ziarah raja yang berjiwa rakyat dan penuh pemedulian.
Turut menjadi tumpuan baginda semasa bercemar duli berkenaan ialah 'Karya Hari Keputeraan' berupa String Art Portrait hasil ciptaan Muhammad Miqdam Zaini, 30 tahun, yang mempamerkan potret Kebawah DYMM dengan menggunakan 5,000 sulaman daripada enam benang warna dan 300 paku disusun dengan urutan 'anti-clockwise' yang mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan karya berkenaan.
“Alhamdulillah saya berasa bangga kerana sebagai belia rakyat baginda telah menghasilkan sebuah karya untuk raja yang dikasihi. Semoga baginda kekal karar memerintah NBD," sembah ucapan Muhammad Miqdam Zaini.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong berkenaan juga melibatkan rakyat dan penduduk daripada beberapa mukim-mukim dari Zon 1 dan Zon 2 di daerah berkenaan.
Turut menyertai perhimpunan berkenaan ialah badan-badan Persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) di daerah berkenaan antaranya daripada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Kegiatan Warga Emas (PKWE), Persatuan Veteran ABDB Cawangan Temburong (PERWIRA), Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Persatuan PERTIWI Daerah Temburong, Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Daerah Temburong, Persatuan Saudara-saudara Baru Temburong (PESAT), Persatuan Masyarakat Iban Temburong (PMIT), Persatuan Masyarakat Cina, dan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei.
Selain itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Jabatan Perikanan, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Daerah Temburong, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Persatuan Pengakap Daerah Temburong, Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Temburong, Persekutuan Pencak Silat, Pengawasan Kejiranan, sekolah-sekolah di Daerah Temburong dan beberapa syarikat agensi pelancongan seperti Anthony Tours & Travel Agency Sdn. Bhd. dan Freme Travel Services Sdn. Bhd. juga turut menyertai perhimpunan di Majlis Ramah Mesra berkenaan.
Sejurus selesai, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Baginda disembahkenalkan kepada empat individu yang memberikan sumbangan signifikan di Daerah Temburong, iaitu Awang Ang Wee Chin dari Syarikat Perniagaan Eco Agro Farm juga Penerima Anugerah Khas Belia Harapan Tahun 2023 sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan; dan Awang Haji Mohammad Ariffin bin Haji Matusin, Penerima Anugerah Guru Cemerlang Dalam Pentadbiran dan Pengurusan Sekolah Rendah sempena Hari Guru Tahun 2009, dan memegang jawatan Ketua Program Pengasramaan Ri'ayah Wa Mahabbah dari 2014 sehingga 2020 dan seterusnya pernah bertugas sebagai Atase Pendidikan Pegawai Kesejahteraan di United Kingdom dari 2020 hingga 2022.
Seterusnya Dayang Runa binti Bagol, pengusaha dan Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie yang bergiat aktif mengusahakan beberapa produk kampung, iaitu Satu Kampung Satu Produk (1K1P); dan Awang Abdul Aziz bin Haji Hamzah dari Jabatan Pengajian Islam Temburong yang merupakan johan Peraduan Membaca Al-Quran bagi Pegawai-pegawai dan Guru-guru Ugama anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama Tahun 2022 serta pernah menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Tahun 2023 dan berjaya membimbing beberapa murid beliau sehingga berjaya memenangi beberapa peraduan membaca Al-Quran sekolah-sekolah ugama dan menyandang beberapa lantikan-lantikan jawatankuasa dan pencapaian lain sepanjang perkhidmatan beliau sehingga sekarang.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin.
Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM berkenan memotong Kek Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun.
Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
Terus berkembang pesat dengan pembangunan, Daerah Temburong yang mempunyai lebih 10,000 penduduk di lima buah mukim itu kaya dengan flora dan fauna menjadikan daerah berkenaan mempunyai reputasi tinggi dalam sektor destinasi pelancongan di negara ini.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto