Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
5 penuntut terima Biasiswa Sultan’s Scholar
02/09/2024

hm_0209241.jpg

Biasiswa Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang merupakan biasiswa yang berprestij kali ini telah dianugerahkan kepada seramai lima pelajar bagi Sesi Pengajian Tahun 2024/2025.


Penyampaian anugerah berkenaan yang berlangsung di Istana Nurul Iman disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB.


Majlis dimulakan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Para penerima terdiri daripada Dayang Nur Hidayah Haziyah binti Handrie yang merupakan lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui Biasiswa Sultan's Scholar beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Environmental Geoscience di University College London, United Kingdom.


Sementara itu, Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran merupakan lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Engineering (Honours) (Chemical Engineering) di University of New South Wales Sydney, Australia.


Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Data Science and Decisions di University of New South Wales Sydney, Australia.


Manakala Awang Muhammad Afiq bin Abdul Rahman merupakan lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui Biasiswa Sultan's Scholar dan akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Mathematics di University College London, United Kingdom.


Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim pula lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.


Pada majlis itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima Anugerah Biasiswa Sultan's Scholar.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Biasiswa Sultan's Scholar.


Turut hadir, Jemaah Tadbir YSHHB; Lembaga Pengarah YSHHB; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan's Scholar YSHHB; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai YSHHB; sebahagian Alumni Sultan's Scholar YSHHB dan sebahagian pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto