Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi.
Mesyuarat Dua Hala tersebut berlangsung di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, di sini.
Juga berangkat semasa Mesyuarat Dua Hala berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengalu-alukan TYT Perdana Menteri Republik India yang mengadakan Lawatan Rasmi buat pertama kali ke Negara Brunei Darussalam (NBD).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menyifatkan lawatan berkenaan tepat pada masa yang penting bagi hubungan dua hala ketika kedua-dua buah negara meraikan Ulang Tahun Ke-40 hubungan diplomatik pada tahun ini.
Di peringkat serantau titah baginda, India merupakan rakan kongsi penting ASEAN melalui Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India dan mekanisme lain yang diterajui ASEAN.
Semasa Mesyuarat Dua Hala berkenaan, Kebawah DYMM dan TYT mengimbas kembali kemajuan cemerlang dalam hubungan dua hala selama ini, termasuk kerjasama yang baik dalam bidang kesalinghubungan, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan dan kesihatan.
Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penerbangan langsung yang telah dirancang antara Bandar Seri Begawan dan Chennai serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Telemetry Tracking and Telecommand Station, yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
Kebawah DYMM seterusnya merakamkan penghargaan atas sumbangan warga India dalam pelbagai sektor terhadap pembangunan sosioekonomi NBD.
Melangkah maju ke hadapan, Kebawah DYMM dan TYT menegaskan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi hubungan dua hala kepada tahap Enhanced Partnership melalui Kenyataan Bersama untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara NBD dan Republik India kepada tahap Enhanced Partnership yang dikeluarkan semasa Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik India ke NBD.
Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk perkembangan di ASEAN termasuk Myanmar, perubahan iklim, perkembangan di Palestin - Israel dan perkembangan di Rusia - Ukraine.
Setelah tamat Mesyuarat Dua Hala berkenaan, satu Kenyataan Bersama untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara NBD dan Republik India kepada tahap Enhanced Partnership telah dikeluarkan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto