Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Persantapan Rasmi raikan Lawatan Rasmi PM Republik India
04/09/2024

hm_0409243.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Persantapan Rasmi bersama Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi; berserta dengan ahli-ahli kerabat diraja dan rombongan rasmi  Republik India.


Majlis berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.


Majlis Persantapan Rasmi dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan titah.


Ini diikuti dengan ucapan balas daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik India.


Menurut TYT, kedua-dua negara komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor ekonomi, saintifik dan strategik.


Jelas TYT, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik India telah memutuskan untuk memberikan tumpuan kepada FinTech dan keselamatan siber, selain industri pertanian serta sektor farmaseutikal dan kesihatan.


Bagi sektor tenaga, kata TYT, kedua-dua negara telah membincangkan potensi bagi kerjasama jangka panjang dalam LNG. 


Bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan pula, NBD dan Republik India telah mengadakan dialog membina mengenai kemungkinan kerjasama dalam industri pertahanan, latihan dan pembangunan kapasiti


Ke arah mengukuhkan kerjasama dalam sektor angkasa, kedua-dua negara bersetuju mengenai kerjasama dalam pembangunan satelit, 'remote sensing' dan latihan.


Untuk meningkat kesalinghubungan, jelas TYT, penerbangan langsung antara kedua-dua negara akan bermula tidak lama lagi.


TYT turut menyembahkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan baginda atas kebajikan warga India di negara ini.


Jelas TYT, Republik India menghargai komitmen Kebawah DYMM terhadap hubungan dengan Republik India.


Menurut TYT, NBD merupakan rakan penting dalam 'India's Act East Policy' dan Visi Indo-Pasifik TYT Perdana Menteri Republik India juga menyembahkan setinggi penghargaan atas penghormatan yang diberikan kepada TYT.


NBD dan Republik India mempunyai kerjasama yang kukuh dalam sektor-sektor utama termasuk perdagangan, tenaga, pertahanan, kesihatan dan pendidikan.


Kerjasama strategik antara Republik India dan ASEAN juga menjadi asas yang kuat untuk memperluaskan lagi hubungan dua hala ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto