Salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dalam bidang kebajikan ialah mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan skim bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti skim bantuan perumahan.
Tempat kediaman merupakan keperluan asasi dalam kehidupan, dan menyediakan tempat kediaman yang selamat kepada golongan yang memerlukan adalah selaras dengan tujuan penubuhan YSHHB dalam bidang kebajikan.
Bantuan tersebut juga sejajar dengan Matlamat Strategik YSHHB iaitu Mengimbangi Pemedulian Keperluan Asasi.
Sehubungan itu, YSHHB petang tadi mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan YSHHB bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan YSHHB di ibu negara.
Bagi kontrak perjanjian ini, YSHHB akan membina sebanyak lima buah rumah bantuan, iaitu sebanyak tiga buah rumah di Daerah Temburong yang dikontrakkan kepada Syarikat The Ruman Power Co, sebuah rumah di Daerah Belait dan sebuah rumah lagi di Daerah Brunei dan Muara yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd.
Sebanyak dua jenis banglo akan dibangunkan iaitu sebuah banglo yang mempunyai dua buah bilik tidur dan sebuah lagi yang mempunyai tiga buah bilik tidur, dan projek pembinaan rumah bantuan ini akan bermula pada bulan November 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025.
Konsep dan reka bentuk bagi pembinaan rumah bantuan YSHHB adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah yang juga dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangka masa pendek.
Projek bantuan perumahan di bawah Bantuan Skim Perumahan YSHHB dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka daif dan tidak selamat untuk didiami.
Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.
Dari mula projek bantuan perumahan dilaksanakan oleh YSHHB pada tahun 1996 sehingga kini, sebanyak 176 buah rumah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baru kepada 176 buah keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.
Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan YSHHB dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan menandatangani Kontrak Perjanjian antara YSHHB dengan kedua-dua syarikat yang dilantik iaitu Syarikat The Ruman Power Co dan juga Syarikat Impian Reka Bina Sdn. Bhd.
Menandatangani bagi pihak YSHHB ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB; dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Penandatanganan Kontrak Perjanjian disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut hadir pada majlis ini ialah pegawai-pegawai kanan di jabatan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB.
YSHHB ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto