Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Mendukung usaha membangunkan, mempelbagaikan ekonomi negara
21/11/2024


Institut Perkhidmatan Awam (IPA) menjalankan Program-program Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) iaitu Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort-31, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort-35 dan Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-9 pada tahun ini.


Program-program tersebut diikuti oleh seramai 78 pegawai dari kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan. Salah satu modul program-program kepimpinan berkenaan ialah Sesi Dialog Eksekutif bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah yang diadakan baru-baru ini di Dewan Isyraq, IPA, di sini.


Turut hadir pada Sesi Dialog tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari JPM dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi di mana Sesi Dialog tersebut membincangkan mengenai tajuk, 'Economic Blueprint : Empowering Growth Through Technology and Innovation' yang antara lain mengongsikan mengenai status ekonomi Negara Brunei Darussalam dan juga hala tuju ke arah memajukan ekonomi negara bagi mencapai Matlamat 3 Wawasan Brunei 2035 untuk menjadi 'Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan'.


Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II antara lain juga mengongsikan mengenai keadaan ekonomi negara secara am dan status perkembangan sektor-sektor keutamaan negara. Yang Berhormat juga menyentuh mengenai peranan teknologi dan inovasi di dalam usaha pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi negara.


Selain itu, Yang Berhormat turut mengongsikan inisiatif-inisiatif yang sedang dijalankan dan juga perancangan masa depan ke arah membangunkan ekonomi. Status pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga dimuatkan di dalam Sesi Dialog tersebut.


Sesi Dialog interaktif tersebut telah mampu memberikan pandangan menyeluruh kegiatan terkini dalam perkembangan ekonomi negara dan dapat menyuntik semangat peserta untuk terus sama-sama mendukung dan merealisasikan 'Economic Blueprint' negara khususnya untuk memperkukuhkan keupayaan pemimpin-pemimpin masa depan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah terutamanya pada zaman digital yang pesat berkembang maju.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Ihsan Institut Perkhidmatan Awam​