Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan mempengerusikan Mesyuarat BLNG Ke-224, Mesyuarat BGC Ke-110
09/12/2024

hm_091224.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-224 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-110 bagi Suku Keempat tahun 2024.


Mesyuarat tersebut berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BLNG dan BGC.


Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah yang mana baginda telah mengimbas kembali cabaran, pencapaian dan pembelajaran yang diperoleh oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) sepanjang tahun 2024, seterusnya menggalakkan kerjasama erat dan tindakan segera antara pihak-pihak berkepentingan dan ahli-ahli pengurusan.


Baginda turut menekankan kepentingan bagi kesemua Syarikat-Syarikat BSJV untuk mengekalkan standard etika dan pematuhan yang tertinggi, serta memupuk budaya integriti di semua peringkat organisasi.


Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli pengurusan daripada BLNG dan BGC.


Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai bidang kritikal termasuk pencapaian operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia.


Selain itu, mesyuarat juga menetapkan hala tuju strategik BLNG dan BGC bagi tahun-tahun yang akan datang.


Selepas mesyuarat tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Ulang Tahun bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Syarikat BLNG sejak penubuhannya pada 9 Disember 1969, sebagai syarikat pertama di Pasifik Barat yang memulakan pencairan gas asli secara besar-besaran.


Kebawah DYMM akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-413 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-191 bagi Suku Keempat tahun 2024 pada Selasa, 10 Disember 2024.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto