Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, The Right Honourable Sir Keir Starmer di No. 10 Downing Street, London.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengucapkan tahniah kepada The Right Honourable atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom yang baharu.
Seterusnya, baginda menyentuh mengenai kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom, yang mana tahun ini adalah istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
Mengenai pertahanan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa gembira bahawa kedua-dua negara telah bersetuju untuk melanjutkan kehadiran British Garrison di Brunei dan mengalu-alukan pembaharuan 'Exchange of Letters'. Di samping itu, baginda juga berpuas hati dengan kemajuan Dialog Strategik antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom.
Menyentuh mengenai ASEAN, Kebawah DYMM menghargai komitmen berterusan United Kingdom sebagai Rakan Dialog ASEAN yang melaksanakan aktiviti-aktiviti serantau yang penting dan relevan. Di samping itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk perkembangan di Timur Tengah.
Pada Majlis Perjumpaan tersebut, Kebawah DYMM telah menandatangani perjanjian 'The Exchange of Letters' dalam bidang pertahanan bersama The Right Honourable Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland yang mewakili Kerajaan British.
'The Exchange of Letters' tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua buah negara serta memupuk kerjasama antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Bersenjata British dalam bidang kepentingan bersama.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto