Brunei DPMM FC seri 1 - 1 semasa bertembung dengan Kuching City FC pada Perlawanan Bola Sepak Persahabatan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pengurus Am DPMM FC, Awang Mohamad Ali bin Haji Momin.
Berangkat sama ialah paduka adinda dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Brunei DPMM FC berjaya membuka jaringan seawal 6 minit permainan separuh masa pertama melalui sepakan pemain pertahanan, Damir Muminovic.
Kuching City FC kemudian bangkit mengatur serangan dan berjaya menembusi gawang Brunei DPMM FC pada separuh masa kedua pada minit ke-69 melalui sepakan James Onyekachukwu Okwuosa sekali gus mengikat kedudukan seri 1 – 1 hingga permainan tamat.
Perlawanan Bola Sepak Persahabatan antara Brunei DPMM FC dan Kuching City FC adalah sebagai pemanasan bagi Brunei DPMM FC menyambung semula perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) pada 13 Januari ini setelah berehat sejak November tahun lalu.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto