
Sesi Muzakarah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi 2025 diadakan hari ini bertempat di Bangunan JPM.
Hadir pada Sesi Muzakarah berkenaan, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin
.
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II memulakan ucapan dengan mengimbas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN 2024 yang menyentuh mengenai dengan kepentingan peranan MMN sebagai medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina bagi membincangkan perkara-perkara strategik bagi memanfaatkan rakyat dan negara.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dalam ucapan alu-aluannya juga turut mengongsikan perkembangan terkini, termasuk perkembangan Wawasan Brunei 2035, pensejajaran dan penyelarasan dasar kerajaan melalui Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint yang disejajarkan dengan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 dan langkah-langkah ke arah meningkatkan kadar pengambilan kerja dalam kalangan anak-anak tempatan.
Inisiatif transformasi dan penambahbaikan Perkhidmatan Awam (PA) turut dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, termasuk usaha-usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan pengurusan sumber tenaga manusia.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II mengongsikan penyediaan Social Blueprint dalam usaha berterusan kerajaan dalam mencapai matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.
Menyentuh bidang sekuriti, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II berkongsi usaha berterusan dalam membanteras jenayah seperti jenayah siber, penyalahgunaan dadah, dan rasuah, serta pencapaian Pejabat Peguam Negara dan mahkamah pada 2024.
Seterusnya, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II pula melaporkan kemajuan positif sektor tenaga pada 2024, termasuk perancangan masa depan.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II mengongsikan kejayaan Negara Brunei Darussalam dalam mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sebanyak 15 peratus pada 2023.
Pelan Adaptasi Negara dan penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN turut disentuh yang mencerminkan komitmen negara dalam menangani perubahan iklim.
Ucapan alu-aluan berkenaan kemudiannya diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Amran dan disusuli dengan sesi dialog di antara Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dan pihak JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Turut hadir pada Sesi Muzakarah berkenaan ialah Yang Berhormat Peguam Negara, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto