
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah, hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman juga Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd. selaku Pengendali Bersama dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pengendali Bersama.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446H dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipersembahkan oleh johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H / 2024M Peringkat Akhir, Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abd. Rajid, diikuti dengan Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Fariszal bin Ali.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapan sembah alu-aluan menyembahkan bahawa pengajaran yang terpenting dalam peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan kepada kita umat Islam di semua zaman dan keadaan.
Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini diberikan tema, 'Sembahyang Mencerdaskan Minda', yang mana tema ini selaras dengan usaha negara yang sedang menangani isu gejala mental.
“Dalam usaha menangani isu gejala mental itu kita di Negara Brunei Darussalam memilih pendekatan yang menyepadukan usaha kerohanian dengan usaha dalam bidang saintifik. Ertinya ialah kita tahu dan kita yakin bahawa dalam menangani gejala mental ibadat sembahyang adalah menjadi rawatan kerohanian untuk disepadukan dengan rawatan secara saintifik.
“Keyakinan kita itu antaranya ialah berdasarkan sebagaimana yang Allah Subhanahu Wata'ala memberitahukan dalam ayat 19 - 23 bahawa kita manusia ini semula jadi diciptakan-Nya dengan bersifat gelisah lagi bakhil-kedekut. Apabila ditimpa kesusahan kita akan mudah berkeluh kesah atau 'inda tantu' rasa, gelisah. Apabila dalam keadaan baik, senang linang kita akan bakhil kedekut.
“Dengan itu diharapkan akan menjadi sebahagian suntikan dalam memperteguh penghayatan beragama yang sedia dipelajari di sekolah-sekolah, difahami dan dikaji di peringkat pengajian tinggi, didakwahkan secara meluas. Maka insyaaAllah semua itu, dengan berkat kepimpinan bijaksana, berwawasan serta berwibawa Kebawah Duli Tuan Patik akan selayaknya menjadikan setiap individu Muslim, bahkan kita senegara yakin bahawa ajaran dan fahaman beragama yang ditanamkan melalui pendidikan formal dan non-formal, yang seterusnya disemarakkan dengan dakwah berterusan secara meluas, telah dan akan sentiasa membekalkan generasi kita sekarang dan generasi yang akan datang menjadi individu Muslim, yang teguh berfahaman dan berpegangan agama yang betul.
“Dengan sedemikian itu yakin dan percaya terhadap diri sendiri, dapat menghadapi semua suasana dan keadaan dengan mencapai kejayaan hidup yang baik seimbang dunia dan akhirat, sebagaimana yang kita pohonkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala," sembah Yang Berhormat. Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah.
Majlis turut diserikan dengan Persembahan Selawat Tafrijiyyah dan Ibrahimiyyah yang dipersembahkan oleh gabungan pegawai dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), KHEDN, Kementerian Pembangunan dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd..
Acara diteruskan dengan Ceramah Khas bertajuk, 'Sembahyang Mencerdaskan Minda' disampaikan oleh penceramah khas dari Republik Indonesia, Profesor Dr. Haji Abdul Somad.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Tema Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446H ialah 'Sembahyang Mencerdaskan Minda' dan dikendalikan bersama oleh KHEU, KHEDN, Kementerian Pembangunan dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara bagi Tahun 1446H.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto