Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan saksikan Liga Super Brunei 2024 / 2025
02/02/2025

dpmm_020225.jpg

Kasuka FC berjaya mengekalkan gelaran juara menerusi Liga Super Brunei (BSL) 2024 / 2025 setelah menewaskan DPMM FC dengan keputusan 3 - 2 di Jerudong Park Mini Stadium, malam tadi.


Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.


Juga berangkat, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.


Turut berangkat menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim selaku Ketua Pasukan.


Babak pertama menyaksikan Kasuka FC menguasai permainan dengan membuat jaringan pertamanya pada minit ke-19 melalui tendangan Willian Dos Santos Silva. Namun selang dua minit kemudian, DPMM FC berjaya membolosi gawang Kasuka FC melalui sepakan kencang Sergio Mendiguchia Iglesias.


Kasuka FC terus ligat menguasai permainan sekali gus memberi tekanan kepada DPMM FC menerusi sepakan penalti yang berjaya dihasilkan oleh Kasuka FC melalui Willian Dos Santos Silva pada minit ke-31.


Bersambung pada babak kedua perlawanan, Kasuka FC sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila Willian Dos Santos Silva sekali lagi memberikan gol pada minit ke-76.


Walaupun menghampiri penghujung perlawanan, DPMM FC tetap memanfaatkan masa tambahan yang diberikan dengan menjaringkan gol kedua melalui Luis Matias Hernandez – Miruena.


Pada perlawanan tersebut, Kasuka FC meraih tiga mata penuh dengan jumlah 37 mata sekali gus merebut gelaran juara Liga Super Brunei (BSL) 2024 / 2025.


Penyampaian hadiah kepada juara liga disampaikan oleh Presiden Interim Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto