Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China
02/02/2025

hm_020225.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China di Beijing pada 6 Februari 2025, dan seterusnya menghadiri Majlis Pembukaan Asian Winter Games Ke-9 pada 7 Februari 2025 di Harbin, Heilongjiang Province, China.


Semasa di Beijing nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengadakan perjumpaan-perjumpaan berasingan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping; Premier of the State Council of the People's Republic of China, Tuan Yang Terutama Li Qiang; dan Chairman of the Standing Committee of the 14th National People's Congress of the People's Republic of China, Tuan Yang Terutama Zhao Leji, bagi mengesahkan kembali hubungan dua hala dan seterusnya mempertingkatkan lagi kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan kepada kedua-dua buah negara serta kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.


Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China menjalinkan hubungan diplomatik pada 30 September 1991, dan hubungan berkenaan telah dipertingkatkan kepada peringkat Strategic Cooperative Partnership pada 19 November 2018.


NBD dan Republik Rakyat China juga berkongsi hubungan mesra dan rapat yang sudah lama terjalin melalui pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan perikanan, belia, sukan, pelancongan, kebudayaan dan pertukaran antara rakyat.


Kedua-dua buah negara juga bekerjasama rapat dalam projek-projek, antaranya ialah Brunei Guangxi Economic Corridor (BGEC), Hengyi Industries Sdn. Bhd. dan Beibu Gulf Holdings Co. Ltd.


Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Beijing adalah pada April 2019 bagi menghadiri 2nd Belt and Road Forum for International Cooperation. Manakala, kali terakhir baginda mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China adalah pada September 2017.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto