
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini meneruskan lagi Majlis Tadarus yang berlangsung di Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
Majlis Tadarus buat kali kedua ini dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah. Turut hadir, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Tadarus Al-Quran bermula daripada Juzuk 10, Surah Al-Anfal yang dipimpin oleh ketua rombongan majlis. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa barang keperluan masjid yang disampaikan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM kepada Ketua Imam Masjid Pekan Seria, Awang Haji Aminorddin bin Haji Md. Yussof.
Majlis diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah. Majlis Tadarus yang ketiga bagi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan diadakan pada Rabu, 11 Ramadan 1446 Hijrah bersamaan dengan 12 Mac 2025 Masihi.
Majlis keagamaan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM sempena bulan Ramadan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan hubungan persaudaraan antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk-penduduk kampung.
Ia juga bertujuan untuk menghidupkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini serta merebut ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto