
Suasana sambutan lebaran Aidilfitri menerusi hari terbuka Istana Nurul Iman terus dimeriahkan dengan menerima seramai 17,266 pengunjung pada hari kedua dan terakhir bagi sesi pagi daripada segenap rakyat dan penduduk termasuk pelancong asing yang berada di negara ini.
Majlis Junjung Ziarah yang sudah menjadi tradisi ini ditiadakan dalam beberapa tahun kebelakangan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19. Namun, lebaran Aidilfitri 1446H di Istana Nurul Iman dibuka kembali dan ia merupakan suatu nikmat Aidilfitri dan kesempatan untuk mengadap dan junjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta ahli kerabat diraja yang lain.
Berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menerima junjung ziarah daripada pengunjung lelaki yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, serta ahli kerabat diraja yang lain.
Sementara itu, turut berangkat di ruang Istana yang lain pula bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha bagi menerima junjung ziarah daripada pengunjung wanita ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir serta cucunda-cucunda baginda serta kerabat diraja yang lain.
Suasana ruang pintu utama seawal pagi sudah dikerumuni dengan keramaian pengunjung lebih-lebih lagi pada hari terakhir istana terbuka ini yang jelas menunjukkan keterujaan mereka untuk bersua muka dan bertemu bersama raja kesayangan rakyat berserta ahli kerabat diraja yang lain.
Dari segi penyelenggaraan logistik, beberapa lokasi berasingan telah disediakan sebagai 'meeting point' bagi bas dan van pengangkutan untuk pengangkutan para pengunjung ke Istana Nurul Iman.
Para pengunjung seterusnya dikehendaki membuat pendaftaran serta diberikan kupon dan sebelumnya mereka terlebih dahulu menjalani pemeriksaan demi mengutamakan kepentingan aspek keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga hendaklah mengikuti prosedur atau peraturan yang ditetapkan terutama sekali dalam etika berpakaian yang sopan dan kemas sekali gus memperlihatkan dan menambahkan seri Aidilfitri selain ada juga pengunjung yang bukan beragama Islam mengenakan pakaian kebangsaan kita, iaitu Baju Cara Melayu untuk lelaki dan Baju Kurung untuk perempuan.
Hari Raya Terbuka di istana ini juga menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan dan ukhuwah kerana ada sebahagian mereka secara tidak langsung bertemu sahabat handai dan rakan taulan selain mengabadikan gambar kenangan dengan berlatarbelakangkan suasana indah kerlipan dekorasi berwarna-warni di ruang Istana Nurul Iman.
Kemurahan hati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga menyediakan pelbagai jenis sajian dan hidangan yang istimewa termasuk kuih-muih beraneka jenis yang setentunya antara layanan terbaik kepada para pengunjung yang datang tanpa mengira bangsa, latar belakang dan agama.
Setelah selesai sesi junjung ziarah, pengunjung diberikan buah tangan dan ucapan kad Hari Raya Aidilfitri yang memaparkan potret raja dan permaisuri yang amat kita kasihi sementara kurnia duit raya buat pengunjung kanak-kanak.
Ini jelas mencerminkan bahawa kunjungan Hari Raya Terbuka di Istana Nurul Iman bagi orang ramai ini tanda kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain untuk sama-sama menikmati anugerah Aidilfitri dan berkongsi rasa kegembiraan dan keceriaan dalam memgimarahkan Syawal yang kita syukuri ini.
Kejayaan kelangsungan hari kedua terbuka ini juga atas kerjasama dan kerja keras para petugas yang bertungkus-lumus dalam menyumbang tenaga khidmat bakti mereka agar Majlis Junjung Ziarah berjalan lancar dan sempurna.
Ucapan salam Aidilfitri dan Minal Aidil Wal Faidzin Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta ahli kerabat diraja yang lain.
Semoga dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta dilimpahi rezeki dan sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto