DPMM FC menang mudah dan berpesta gol ke atas Penabai Kuala Tutong FT (PKT FT) dengan keputusan 12 – 0 pada siri perlawanan Brunei FA Cup 2025 yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong Park, petang tadi.
Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Turut berangkat menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim yang juga selaku Ketua Pasukan DPMM FC.
Pada separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun DPMM FC lebih bijak mengatur serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama dan kedua menerusi Abdul Azizi Ali Rahman seawal minit ke-4 dan Muhammad Al-Kholil@Muhammad Hisamuddin Sapawi / Hamdan pada minit ke-9.
DPMM FC terus bijak mengukuhkan barisan serangan sehingga berjaya menghadiahkan tiga lagi gol melalui Sergio Mendiguchia pada minit ke-25, Muhammad Al-Kholil @ Muhammad Hisamuddin Sapawi / Hamdan pada minit ke-35 dan Sergio Mendiguchia menambah jaringan pada minit ke-45 sebelum wisel penamat bagi babak pertama dibunyikan.
Sementara dalam babak kedua perlawanan pula menyaksikan DPMM FC dengan selesa mengawal permainan dan berjaya menggandakan jaringan gol menerusi Kenshin Uneo pada minit ke-50. Manakala Muhammad Shahrazen Said seterusnya berjaya menjaringkan gol ke-7 pada minit ke-58 bagi DPMM FC.
PKT FT cuba mengasak gawang skuad DPMM FC untuk membuat jaringan namun percubaan tersebut kerap kali dipatahkan oleh penjaga gol DPMM FC, Abdul Azeez Elyas.
DPMM FC terus beraksi cemerlang apabila Muhammad Shahrazen Said terus menghadiahkan gol DPMM FC yang ke-8 dan ke-10, masing-masing pada minit ke-78 dan minit ke-82. Kenshin Uneo, pemain kelahiran Jepun, turut menghadiahkan gol ke-9 DPMM FC pada minit ke-79.
Harapan PKT FT untuk menjaringkan sebarang gol terus berkecai apabila DPMM FC melalui Luis Matias Hernandez Miruena berjaya menyumbatkan gol ke-11 dan 12 pada minit ke-87 dan minit ke-88. Keputusan kekal 12 – 0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto